PUTRAJAYA – Persiapan acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, di sini, mencapai tahap 30 peratus, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Meninjau raptai separa penuh dan latihan insentif, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan dan susun atur acara yang baik.
“Sebab kita belum lagi test dengan aset-aset, jadi saya rasa dalam 30 peratus tahap persiapan.
“Dari segi khemah-khemah yang dinaikkan dan skrin LED yang dipasang dan saya difahamkan tahun ini LED ini dipasang lebih awal berbanding tahun lalu.
“Jadi kita dapat lihat penambahbaikan yang dapat dilakukan dari masa ke semasa. Cukup masa sekiranya perlu kita adjust sama ada dari keseluruhan pembarisan dan latihan, kita masih ada masa.Jadi saya jangkakan dalam 30 peratus,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Mei lalu, beliau mengumumkan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, dan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.
Mengulas lanjut, Fahmi turut menggalakkan orang ramai memakai pakaian batik ketika sambutan Hari Kebangsaan 2023 pada Khamis ini.
Beliau berkata, galakan itu bukan saja bagi memeriahkan acara, malah ia juga dapat menunjukkan sokongan padu kepada industri batik tempatan.
Sementara itu, lagu tema iaitu Tekad Perpaduan Penuhi Harapan adalah ciptaan Muhd Affan Mazlan, 23, atau lebih dikenali sebagai Affan Mazlan.
Lagu itu dinyanyikan oleh dua penyanyi popular Aina Abdul dan Khai Bahar, menterjemahkan perasaan dan ekspresi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, hidup dalam keharmonian, sehati dan sejiwa sekali gus membarakan perasaan cinta kepada negara. – MalaysiaGazette