KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan FC, Alfredo Vera mengakui ketiadaan pemain import mencukupi dalam barisan pemainnya menjadi antara punca kekalahan besar 2-11 pasukan itu kepada Selangor FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Namun jurulatih dari Argentina itu tidak menyalahkan barisan pemain muda pasukan Kelantan FC sambil menyifatkan mereka sudah bermain sepenuh hati pada perlawanan tersebut.

“Kita tidak mempunyai pemain-pemain yang boleh menguasai perlawanan ini terutamanya (pemain) import. Pemain yang ada sangat muda mereka belum mempunyai pengalaman, rata-rata baharu bermain lima perlawanan Liga Super,” kata pada sidang media, di sini malam tadi.

Dalam tempoh seminggu, Kelantan FC sudah dua kali menjadi pasukan belasahan dengan melepaskan gol dua angka, pasukan itu tewas kepada JDT 0-10 pada 19 Ogos lalu, dan malam tadi menyaksikan derita mereka bertambah apabila tewas 2-11 kepada Selangor FC.

Vera berkata, agak sukar bagi beliau untuk mengatur taktikal dan strategi permainan dengan tidak mempunyai pemain yang mencukupi.

“Liga Super kita bermain dengan lawan yang kuat, namun kita hanya mampu bergantung kepada pemain bawah umur 23 untuk beraksi ia menyebabkan kita sangat berat (teruk). Pemain yang kita ada tidak semua mereka layak beraksi di Liga Super dan sebelum ini mereka hanya bermain dengan pasukan sebaya mereka (Piala Presiden),” katanya sambil menahan sebak.

Beliau berkata, kekalahan dua angka kepada pasukan lawan merupakan pengalaman baharu buat dirinya sepanjang menjadi jurulatih.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC Tan Cheng Hoe berkata, beliau tidak menjangka pasukannya memperoleh kemenangan besar terutamanya apabila ketinggalan 0-2 pada awal permainan kepada pasukan Kelantan FC.

“Saya tidak jangka menang besar namun atas usaha dan kerja keras pemain sebagai satu pasukan itu menunjukkan pemain ingin kemenangan malam ini.

“Dua gol awal Kelantan FC berpunca kami hilang tumpuan kerana kita tahu situasi padang agak kurang baik disebabkan itu pemain hilang kawalan bola namun kita tidak boleh beri alasan itu,” katanya.

Katanya, sebelum perlawanan itu beliau telah mengingatkan pemainnya supaya tidak memandang rendah kemampuan pasukan Kelantan FC.

“Dua gol awal itu memberi kebimbangan saya, namun bernasib baik pemain saya cepat memberi reaksi untuk mencari gol penyamaan sekali gus membawa kemenangan malam ini,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast