Foto Facebook Penang FC.

KUALA LUMPUR – Derita Penang FC terus bertambah apabila tewas kali kelima berturut-turut. Kali ini 0-3 di tangan PDRM FC pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya petang tadi.

Keputusan itu turut menyaksikan PDRM kembali mengutip mata penuh selepas kemarau kemenangan dalam tiga aksi diharungi sebelum ini.

Pada aksi terbabit, skuad Harimau Kumbang lebih banyak mendominasi babak pertama dan tuah menyebelahi tuan rumah.

PDRM akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-35 bermula daripada sepakan percuma Kyaw Min Oo yang ditampan Fane ke dalam gawang sendiri untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0.

Tuan rumah terus melebarkan jurang pada minit ke-73 menerusi tandukan James Okwuoso sekali gus meletakkan tuan rumah selesa berkelebihan dua gol.

Penang semakin dirundung malang selepas PDRM terusĀ  apabila rembatan jauh Bruno Suzuki menerjah gawang pelawat buat kali ketiga pada hujung permainan untuk melengkapkan kemenangan bergaya di laman sendiri.

Sebelum ini, penyokong Penang FC kini mendambakan pembaharuan dari segi kepimpinan kelab selepas berdepan masa sukar dengan prestasi yang tidak menentu.

Skuad Harimau Kumbang kini boleh dianggap berada pada situasi yang tidak ideal apabila mereka menduduki tangga kesepuluh Liga Super selepas 21 perlawanan.

Kini, suara penyokong Harimau Kumbang menyasarkan nama yang dijangka boleh mengubah nasib Penang FC menjadi lebih baik iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Bekas Menteri Belia Dan Sukan itu diseru-seru oleh penyokong Harimau Kumbang kerana mereka beranggapan Reezal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam boleh memberi angin perubahan kepada kelab kesayangan mereka jika diangkat sebagai pengerusi baharu Penang FC. – MalaysiaGazette