MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) diarahkan menyiasat aduan kes ayam goreng berulat dalam hidangan mi segera di sebuah restoran Pakistan, Bandar Melaka seperti tular baru-baru ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pihaknya telah melihat klip video berkenaan yang dimuat naik seorang pengguna TikTok pada Isnin lalu.
“Saya telah mengarahkan JKNM untuk menyiasat dakwaan tersebut yang mana jika benar ia telah melanggar Akta Peraturan-Peraturan Kesihatan Malaysia (PPKM) 2009.
“Setakat ini, siasatan masih dilakukan dan berharap orang ramai dapat terus menyalurkan maklumat kepada kami jika pernah berdepan situasi sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Klip video yang tular menunjukkan pengguna TikTok berkenaan menunjukkan ayam goreng dalam menu mi segera goreng dipesannya dipenuhi ulat dalam kejadian 21 Ogos lalu.
Menurutnya, dia hanya menyedari perkara itu selepas makan tiga sudu sebelum melaporkan kepada peniaga restoran Pakistan itu yang hanya bertindak menggantikan hidangannya itu.
Dakwanya lagi, situasi itu pernah beberapa kali berlaku sebelum ini namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap restoran berkenaan kerana masih mengulangi kesalahan sama. – MalaysiaGazette