Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

SHAH ALAM – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan terus siapsiaga menambah baik hal ehwal Islam di Malaysia agar inklusif, bukan sahaja memberi manfaat kepada umat Islam, malah rahmat kebaikan Islam juga dirasai masyarakat bukan Islam.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar berkata beliau menjunjung kasih atas kesudian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mencemar duli mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Anwar yang juga Timbalan Pengerusi Majlis itu berkata mesyuarat MKI berkenaan jelas menzahirkan keprihatinan Tuanku terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

“Patik dan seluruh jentera Kerajaan Perpaduan khususnya agensi Islam menjunjung duli dan beriltizam untuk memastikan tadbir urus hal ehwal Islam dilaksanakan dengan sebaik-baiknya seperti mana yang dihasratkan oleh Majlis Raja-raja.

“Patik meyakini dengan perkenan dan restu Duli-Duli Tuanku jua, usaha memperkukuhkan institusi pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan dan negeri-negeri dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan,” katanya.

Anwar turut merakamkan sekalung penghargaan kepada ahli MKI dan wakil negeri-negeri yang hadir  pada mesyuarat itu.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast