MELAKA – Belum sempat berehat panjang selepas sibuk dengan pelbagai program sambutan Hari Kebangsaan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terus turun padang menyantuni rakyat termasuk komuniti penghantar makanan (p-hailing) semalam.
Perkara itu menarik perhatian netizen selepas Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu
berkongsi momen berkenaan menerusi Facebook dengan menyifatkan rakyat sebagai sebab beliau terus melangkah dan bekerja.
“Bukan tentang berapa jauh kaki melangkah, tetapi untuk siapa kita terus melangkah. Berhari-hari menyantuni rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan, hari ini kembali bersama warga Tanjung Bidara, Masjid Tanah dan abang-abang rider p-hailing.

“Kerana bagi saya, selagi ada rakyat yang ingin ditemui, selagi itu langkah ini akan terus berjalan. Rakyat adalah sebab saya bekerja,” tulisnya.
“Kalau penat… rehatlah kejap Tok. Kita yang melihat ini pun rasa letih tengok perjuangan Tok Rauf… tak henti-henti menyantuni dan melayan rakyat,” kata Sulima Sosefohia.

Nurul Amirah pula menyifatkan kesediaan Ab Rauf mencari dan menemui rakyat sebagai sesuatu yang membezakan beliau daripada pemimpin lain.
“Ada yang menunggu rakyat datang. Tapi ada yang memilih untuk datang mencari rakyat… itu beza Tok Rauf kami dengan pemimpin lain.
“Kadang-kadang orang mungkin tak tahu betapa penatnya seorang pemimpin, tetapi sesungguhnya rakyat akan ingat siapa yang hadir ketika mereka memerlukan,” katanya.

Nada sama turut dikongsikan Mashitah Md Nasir yang menulis; “Syahdu lak tgk tok Ab Rauf Yusoh gini. Semoga dsu sentiase dlm rahmat allah dan diberi kesihatan yg baik..teruskan langkah yang penuh makna demi rakyat.
Sementara itu, Che Puteh berkata, anak muda di kawasan Tanjung Bidara melihat sendiri usaha Ab Rauf membantu dan memberi sokongan kepada rakyat ketika diperlukan selain mengakui kesilapan lalu ketika membuat pilihan.

“Takpa tok kami anak muda akar umbi melaka di kawasan Tanjung ni nampak apa yang tok dah buat kebaikan pada rakyat negeri melaka ni di saat2 kami memerlukan bantuan dan sokongan.
“Kami sedar akan kesilapan kami dulu. Dan kali ini kami akan memberi sokongan penuh kepada tok untuk terus menjadi ketua pemimpin negeri kita ini,” katanya.
Nada sama dilontarkan Eyra Wan yang menulis; “sy ckp jujur tok mse sy tgk hri kemerdekaan di melaka sy rse sebak sebb sy bngga jdi ank melaka dan dpt ketua mnteri yg hebat sekali trima ksih tok trus majukn melaka ni,”.

Selain komen mengenai kepimpinan negeri, terdapat juga netizen yang berkongsi pengalaman berada di Melaka, termasuk Lotfi Amer yang mendakwa baru pulang bercuti di negeri itu dan menyifatkan suasana serta perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, rancak.
Azim Aziz yang mendakwa baru berpindah dari Johor ke Melaka pula berkata, sepanjang dua tahun berada di negeri itu, beliau melihat kepimpinan Ab Rauf sebagai memahami kehendak rakyat. – MalaysiaGazette
















