Foto Facebook Penang FC.

KUALA LUMPUR – Pengurusan tertinggi Penang FC menamatkan khidmat Pengarah Teknikal Kelab, Kamal Kalid dan Pengurus Pasukan Liga Super Penang FC, Ong Eng Hua serta-merta berikutan prestasi hambar pasukan Harimau Kumbang dalam Liga Super musim 2023.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi berkata, susulan daripada itu, Ketua Jurulatih Pasukan Liga Super yang baharu, Chong Yee Fatt akan memainkan peranan sebagai ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan untuk masa akan datang.

“Ia termasuk kegagalan melangkah ke pusingan seterusnya dalam kempen saingan Piala Malaysia 2023 baru-baru ini. Pihak pengurusan juga sedar bahawa langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk kembali bangkit daripada situasi ini.

“Oleh itu, pihak pengurusan menamatkan khidmat Kamal dan Eng Hua serta-merta yang mana, kedua-dua mereka tidak lagi akan terlibat dalam apa sahaja urusan kelab dan pasukan selepas ini.

“Penang FC ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas khidmat yang telah diberikan sepanjang mereka bersama kelab dan pasukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum itu, Penang FC turut tewas 2-1 kepada KDA FC di hadapan hampir 3,000 penonton di Stadium Bandaraya, di sini. – MalaysiaGazette