Azalina melawat tapak pembinaan mahkamah baharu Ampang, Selangor pagi ini.

KUALA LUMPUR – Tujuh mahkamah baru sedang dibina di seluruh negara termasuk dua di Johor iaitu di Pengerang dan Johor Baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, lima yang lain di Ampang, Selangor; Sik, Kedah; Temerloh, Pahang; Ipoh, Perak dan Bachok, Kelantan.

Katanya, projek naik taraf mahkamah juga sedang giat dilaksanakan di seluruh Malaysia.

“Dengan pembinaan mahkamah baharu, naik taraf, ubah suai dan pemuliharaan mahkamah ini, diharapkan akan memberi keselesaan kepada kakitangan mahkamah, peguam dan orang awam yang akan menggunakan kemudahan infrastruktur ini kelak.

“Ini juga dapat menambah baik prasarana badan kehakiman negara serta dapat memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dalam bidang kehakiman dan perundangan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Azalina melawat tapak pembinaan mahkamah baharu Ampang, Selangor pagi ini.

Pembinaan mahkamah tersebut telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).

Pelaksanaan semula projek adalah bagi menyiapkan baki kerja di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia ke -12 (RMKe-12).

Skop projek melibatkan 10 buah bilik bicara merangkumi empat Mahkamah Sesyen dan enam Mahkamah Majistret dan dijadualkan siap pada 17 Disember 2023.

Sehingga 21 Ogos lalu status fizikal projek mahkamah yang akan dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini seperti Sistem Court Recording Voice-To-Text (RVT) adalah pada 85.34 peratus.

Katanya, Mahkamah Ampang sedia ada beroperasi dengan menyewa di bangunan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terdiri daripada tiga Mahkamah Sesyen dan tiga Mahkamah Majistret.-MalaysiaGazette