Bekas Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof, 70, meninggal dunia di Hospital Melaka malam tadi akibat beberapa komplikasi penyakit.

MELAKA – Bekas Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof, 70, meninggal dunia di Hospital Melaka malam tadi akibat beberapa komplikasi penyakit.

Anak kedua Allahyarham, Nor Adawiyah Mohd Said, 40, memaklumkan bapanya yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.10 malam.

“Arwah bapa terlantar sakit dan sering keluar masuk hospital sejak Disember tahun lalu dan keadaan kesihatannya semakin merosot akibat beberapa penyakit kronik termasuk jantung dan kencing manis.

“Keadaannya semakin lemah sehingga tengah hari semalam, sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor pakar kira-kira 8.10 malam ketika menerima rawatan” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Rozana Shamsudin, tiga anak dan enam cucu.

Allahyarham menjadi Ahli Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 menewaskan calon Pas, Jasme Tompang dengan majoriti 21,334 undi dan menjadi wakil rakyat selama sepenggal sehingga 2008.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Temu pada jam 11 pagi ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast