Salah seorang usahawan veteran ATM yang menerima geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) di The Awangan Place, di sini hari ini

KUANTAN – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menetapkan sasaran 200 usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara menerima geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bagi tahun ini.

Menurut Timbalan Menterinya, Adly Zahari, sehingga hari ini, hanya seramai 20 orang daripada golongan itu telah menerima geran bernilai RM5,000 itu.

“Sehingga kini, sebanyak lima geran telah diberikan kepada usahawan veteran di Lembah Klang, lima lagi di Negeri Sembilan dan 10 penerima dari Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) ATM Negeri Pahang, di The Awangan Palace, Permatang Badak, di sini hari ini.

Adly Zahari

Jelas Adly, pemberian geran itu merupakan inisiatif kerajaan melalui PUVET ATM dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Ada banyak lagi model geran, namun setakat ini (pemberian) geran dengan kerjasama KKDW. Kita sedang berbincang dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) bagi membolehkan veteran mendapat manfaat lebih besar apabila mereka terlibat dalam bidang ini (keusahawanan),” katanya lagi.

Sementara itu, usahawan veteran, Mohd Jufizan Johar, 44 yang ditemui bersyukur terpilih untuk menerima geran SPKLB yang diberikan hari ini.

“Saya bermula pada tahun 2014 dengan modal apa yang ada sahaja, sedikit demi sedikit. Dengan geran ini, saya berharap dapat tambah mesin yang ada dan seterusnya dapat pasarkan produk ini lebih meluas,” katanya.

Mohd Jufizan Johar

Dia yang tamat perkhidmatan sebagai Pegawai Waran (PWII) Tentera Udara (TUDM) telah menjalani latihan peralihan (LP) di PERHEBAT Sungai Buloh pada 2019 dan kini mengusahakan produk sos yong tau fu di Kampung Baru Sungai Lui, Raub.

Begitu juga dengan Ahmad Firdaus Ahmad Safri, 41 yang telah tamat tugas sebagai Koperal Tentera Darat (RRD) pada tahun lepas.

Setelah melalui LP di PERHEBAT Sungai Buloh sehingga 31 Disember 2021, dia yang memilih untuk menjadi Pengusaha Daging Arnab Perap tidak menyangka menjadi antara yang bertuah menerima geran SPKLB kali ini.

“Alhamdulillah.. saya memang rasa teruja sangat sebab dipilih oleh PERHEBAT daripada ramai anggota-anggota PERHEBAT. Buat masa sekarang, saya bercadang nak tambah baka-baka arnab lagi untuk ladang saya dengan geran yang diterima ni,” ulasnya.

Ahmad Firdaus Ahmad Safri

Setelah kira-kira setahun lapan bulan menternak arnab, Ahmad Firdaus memberitahu, kini ladangnya menempatkan 615 ekor arnab pelbagai baka bagi tujuan penghasilan produk perap dan beku.

Ketika ini, PERHEBAT Pahang sedang memantau 1,286 orang veteran yang telah tamat latihan peralihan (LP) dalam tempoh lima tahun sejak 2018 sehingga 2022.

Difahamkan daripada 700 orang yang berjaya dihubungi PERHEBAT, seramai 329 veteran ATM terlibat dalam perniagaan, 139 berkerja bermajikan dan 232 lagi masih belum mempunyai kerjaya. – MalaysiaGazette