SINGAPURA – Trafik dijangkakan sesak di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas dalam tempoh 31 Ogos hingga 11 Sept 2023 apabila rakyat Singapura memasuki Malaysia sempena cuti hujung minggu dan cuti persekolahan pada September.
Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) berkata, seperti semasa cuti sekolah pada Jun lepas, trafik didapati sesak di pusat pemeriksaan, dengan hampir 250,000 pengguna berurusan di pusat pemeriksaan berkenaan pada permulaan cuti pada 1 Jun 2023.
“Dalam tempoh hujung minggu pada 16 Jun hingga 18 Jun 2023, lebih 1.2 juta pengguna atau lebih 400,000 lintasan sehari melalui pusat pemeriksaan itu.
“Mereka yang berlepas dengan kereta terpaksa menunggu sehingga tiga jam sebelum dapat melepasi imigresen semasa waktu puncak,” menurut ICA dalam laman sesawangnya.
Pengguna dinasihatkan supaya mengambil kira masa menunggu tambahan untuk pelepasan imigresen, terutama pada hujung minggu, kata ICA. – BERNAMA