PUTRAJAYA – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan larangan isu agama, bangsa dan raja (3R) dibicarakan secara terbuka kerana beliau mempunyai kepentingan peribadi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir lebih memahami larangan itu yang terhad kepada tiga perkara sahaja.
“Sebagai seorang bekas Perdana Menteri yang sangat arif tentang perkara-perkara ini, tidak seharusnya membangkitkan soal 3R yang kononnya terlalu umum.
“Saya berpandangan bahawa beliau sengaja mempertikai dan mempersoalkan perkara ini kerana beliau mempunyai kepentingan peribadi,” katanya kepada pemberita di Le Meridien Hotel, di sini, hari ini.

Terdahulu, menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Duta–Duta Organisation of Islamic Cooperation (OIC).
Sebelum itu, Dr Mahathir dalam satu kenyataan hari ini mendakwa, isu 3R itu terlalu umum dan kerajaan tidak berhak menghalang mana-mana pihak membicarakannya secara terbuka.
Menurut beliau, kerajaan tidak boleh melarang orang ramai menyentuh isu 3R melainkan ia ada kaitan dengan keselamatan negara.
Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan perkara itu timbul kerana Dr Mahathir dibayangi dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika zaman pemerintahannya.
“Dulu ada Akta Isa dan ketika itu Perdana Menteri selama 22 tahun itu telah menggunakan sewenang-wenangnya ISA untuk menahan siapa sahaja yang berbeza pendapat.
“Saya salah seorang mangsanya,” katanya.
Katanya, apabila pemimpin pembangkang termasuk Dr Mahathir dikenakan larangan menyentuh isu 3R, bekas Perdana Menteri mengatakan ia terlalu umum dan mengancam keselamatan.
“Kini apabila beliau menyatakan bahawa 3R terlalu umum, saya tidak fikir ianya umum.
“Ia hanya melibatkan tiga perkara yang utama.
“Ia tidak seharusnya disentuh, kerana sensivitinya melilbatkan perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette