Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mujahid Yusof menyifatkan episod fitnah yang dilemparkan oleh Ahmad Dusuki Abd Rani dan Pas membabitkan penjualan aset Lembaga Tabung Haji (TH) kepada orang bukan Islam sudah berakhir.

Ia susulan tindakan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas itu menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu dengan kos sebanyak RM5,000.

Rayuan Dusuki itu berhubung dengan saman fitnah yang difailkannya terhadap saya berhubung dengan isu di sebalik penjualan aset TH dan berkaitan ciapan berbunyi ‚ÄúSeorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Mahkamah Sesyen Shah Alam telah pun menolak saman fitnah tersebut dengan kos RM11,000 dan mengesahkan aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.

Tetapi Dusuki telah merayu ke Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah Tinggi kemudiannya telah menolak rayuan tersebut dengan kos RM7,000.

Dusuki yang masih tidak berpuas hati telah merayu pula ke Mahkamah Rayuan Putrajaya.

“Dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuan tersebut, maka berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan oleh Dusuki dan pihak Pas sejak sekian lama; khususnya ketika saya menjadi Menteri Agama bahwa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam,” katanya dalam kenyataan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, dengan tindakan Dusuki itu, membuktikan akhirnya beliau akur bahawa aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.

“Kos keseluruhan yang perlu dibayar oleh Dusuki kepada saya ialah berjumlah RM23,000.00 iaitu merangkumi kos RM11,000.00 di Mahkamah Sesyen, RM7,000.00 di Mahkamah Tinggi dan RM5,000.00 di Mahkamah Rayuan.

“Saya bersyukur kerana akhirnya nama saya telah dibersihkan dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada Peguam saya Tuan Noorazmir Zakaria dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir. Semoga dengan ini, semua fitnah yang sekian lama berlegar berkenaan isu Tabung Haji ini berakhir,” ujarnya. – MalaysiaGazette