Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bercakap pada sidang media di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Petronas mencatatkan pendapatan sebanyak RM170.3 bilion bagi separuh tahun pertama 2023, menyusut sedikit berbanding RM170.4 bilion tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu tetap teguh walaupun harga produk-produk utama mengalami penurunan.

Menurut beliau, Petronas juga merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM40.2 bilion, pengurangan sebanyak 13 peratus yang sebahagian besarnya berpunca daripada harga purata sebenar yang lebih rendah.

“Bagi suku tahun kedua berakhir 30 Jun lalu, pendapatan menyusut sebanyak 13 peratus kepada RM79.9 bilion dalam persekitaran harga rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.

“PAT turun sebanyak 29 peratus kepada RM16.4 bilion daripada RM23 bilion selari dengan pendapatan yang lebih rendah,” katanya dalam sidang media di Menara Berkembar Petronas di sini, hari ini.

Petronas turut meluluskan dividen berjumlah RM40 bilion bagi separuh tahun pertama 2023, dengan RM35 bilion diluluskan pada Februari lalu manakala baki RM5 bilion pada Jun.

Tengku Muhammad Taufik menambah, separuh tahun pertama 2023 menyaksikan Petronas mencatatkan pendapatan bersih syarikat dengan cukai dan faedah dan ditambah dengan susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM70.5 bilion.

Beliau memberitahu, aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) menyusut kepada RM57.8 bilion, turun sebanyak tujuh peratus berbanding RM62.4 bilion sebelum ini, selari dengan keuntungan yang dijana sepanjang tempoh tersebut.

“Pelaburan modal (Capex) adalah sebanyak RM21.4 bilion, disumbangkan oleh projek huluan dan projek perniagaan gas.

“Capex domestik meningkat sebanyak 48 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sebahagian besarnya dari pelaburan Projek LNG Terapung Dekat Pesisir (ZLNG) di Sabah dan Pembangunan Medan Gas Kasawari di Sarawak,” jelasnya.

Tengku Muhammad Taufik berkata, jumlah aset keseluruhan mengukuh kepada RM742 bilion setakat 30 Jun lalu berbanding RM710.6 bilion setakat 31 Disember.

“Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM410 bilion setakat 30 Jun lalu berbanding RM401.6 bilion setakat 31 Disember, ekoran keuntungan yang diagihkan kepada pemegang saham yang direkodkan sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau melihat harga minyak dan gas kekal tidak menentu, dipengaruhi oleh masalah ekonomi dan isu keterjaminan tenaga.

“Di sebalik cabaran-cabaran tersebut, Petronas tetap komited dalam membekalkan tenaga secara bertanggungjawab bagi menyokong agenda pertumbuhan dan kemampanannya di dalam dan luar negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Daripada jumlah tersebut diatas berapa banyak income yang dihasilkan dari gas fields di Kelantan juga oil, gas & condensate dari Trengganu.

    Rakyat berhak nak tahu?

Comments are closed.