Nor Azimi Yunus (tengah) menyantuni bayi yang dilahirkan pada 31 Ogos di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan

KUANTAN –  Pahang menyaksikan 15 bayi merdeka, masing-masing 10 bayi lelaki dan lima lagi perempuan dilahirkan di lima buah hospital.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN)Pahang, Datuk Nor Azimi Yunus berkata, jumlah kelahiran yang direkodkan itu sehingga jam 11 pagi ini.

“HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) mencatatkan kelahiran tertinggi iaitu seramai  lapan bayi, diikuti HOSHAS (Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh) dengan empat kelahiran.

“Hospital Kuala Lipis, Hospital Pekan dan Hospital Sultanah Hajah Kalsom Cameron Highlands masing-masing mencatatkan satu kelahiran sehingga pagi ini,” katanya ketika ditemui media selepas meraikannya bayi merdeka di HTAA di sini.

Menurut Norazimi, bayi merdeka pertama dilahirkan ialah  HTAA pada jam 12.09 pagi tadi iaitu bayi lelaki seberat 2.94 kilogram (kg).

“Semua bayi merdeka dilahirkan berada dalam keadaan sihat dan dilaporkan stabil. Kesemuanya dilahirkan secara normal kecuali seorang melalui kaedah vakum.

Sementara itu, Khatijah Anum Ismail,39  berasal dari Sungai Ular, Kuantan tidak menyangka melahirkan anak yang ketujuh pada hari kemerdekaan.

“Kalau ikut tarikh bersalin pada  8 September ini, tapi pagi tadi saya mengalami tanda-tanda bersalin dan alhamdulillah saya melahirkan anak lelaki,” katanya.

Manakala bagi Norain Hassan, 33 tahun pula bersyukur selamat melahirkan bayi perempuan ketiga pada jam 9 pagi tadi dan gembira anak bertuah dilahirkan pada 31 Ogos. – MalaysiaGazette