Pengerusi Badan Perhubungan MIC Negeri Johor, Asojan Muniyandy bercakap kepada media selepas bertemu wakil-wakil NGO Johor Indian di Taman Dato Onn, Johor Baru. Foto MUHD NA’IM, 31 OGOS 2023.

JOHOR BAHRU – MIC tidak pernah meranggap pengundi India sebagai king maker dalam menentukan kemenangan mana-mana gabungan politik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September ini.

Sebaliknya, peratusan keluar mengundi bagi semua kaum memberi kesan terhadap keputusan PRK nanti, kata Naib Presiden MIC, Datuk M.Asojan Muniandy.

Lagipun, menurut beliau, terdapat faktor lain yang menjadi penentu keputusan pilihan raya terutama jumlah peratusan pengundi yang keluar mengundi pada hari tersebut.

“Kita tidak boleh cakap macam itu secara terbuka sebab penentu keputusan pilihan raya  merujuk kepada peratusan keluar mengundi.

“Tambahan pula, pengundi (India) pada PRK di Pulai tidak sama pengundi di Kuala Lumpur atau Kedah (mereka tinggal dan pada masa sama juga kerja di KL dan Kedah) tetapi di Pulau ada yang bekerja di Singapura,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MIC Negeri Johor.

Beliau mengulas sama ada kaum India akan menjadi penentu dalam PRK Parlimen Pulai kerana orang Melayu dikatakan akan mengundi Perikatan Nasional (PN) manakala orang Cina akan mengundi Pakatan Harapan (PH).

Untuk Parlimen Pulai, jumlah pengundi India signifikan iaitu 12 peratus melibatkan 20,000 undi.

“Komposisi berkenaan kalau kita tengok trend keluar mengundi sekitar 60 peratus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan 70 peratus dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“Ini merupakan PRK, biasanya jangka 60 peratus keluar mengundi, jadi akan sasar sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi India keluar mengundi.

“Jangkaan ini berdasarkan pandangan pengundi yang selalunya berfikir satu kerusi sahaja, ada pengaruh ke? Jadi kalau mana-mana kaum tidak keluar undi boleh pengaruh keputusan, itu satu persoalan sukar dijawab,” katanya.

Terdapat 167,108 pengundi di Parlimen Pulai dan daripada jumlah itu, 44.17 peratus adalah Melayu; 40.47 peratus Cina dan 12.30 peratus lagi India.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Persekutuan Persatuan-persatuan India Berdaftar Negeri Johor (Gappin) di Bangunan Dewan Perniagaan India, Larkin di sini .

Mengulas lanjut, Asojan berkata, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sudah berjumpa jentera MIC di peringkat Parlimen Pulai serta DUN Simpang Jeram dan menyampaikan amanat supaya ahli parti menyokong calon PH.

Amanat itu sebagai sokongan MIC  kepada Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, atas kepercayaan itu jentera MIC sudah diarah bergerak ke pusat daerah mengundi (PDM) dalam kedua-dua PRK tersebut termasuk bergerak dari rumah ke rumah diikuti ceramah bagi memastikan pengundi India keluar beramai-beramai menyokong calon PH.

Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat India khususnya ahli dan penyokong MIC bersetuju dengan kerjasama politik menerusi Kerajaan Perpaduan kerana percaya dengan janji diberikan oleh Anwar.

Ia selepas Anwar memberi tempoh masa selama setahun bagi melihat permasalahan serta isu yang membelenggu kaum itu di negara ini.Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Datuk R Nelson berkata, masyarakat India perlu terus menyokong Kerajaan Perpaduan dengan mengundi calon PH dalam PRK ini. – MalaysiaGazette