sekularisme DAP
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Sikap DAP yang mahu Pas tunduk kepada prinsip sekularisme yang menjadi perlembagaannya serta konsep Malaysian Malaysia menyebabkan berlaku pertembungan antara kedua-dua parti tersebut.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, DAP mahu mengheret Pas daripada prinsip Islam sebagai al-din, bukannya agama yang difahami mengikut takrif sekularisme.

Menurut beliau, prinsip itu mewajibkan Islam mempunyai kedudukan yang berdaulat dalam negara yang dipimpin oleh Islam, bukan konsep sekularisme yang berpisah daripada agama atau ‘Malaysian Malaysia’ yang berperanan menghapuskan rupa bangsa.

“Pertembungan ini yang menyebabkan DAP keluar atau memaksa Pas untuk keluar daripada persefahaman politik (tahaluf siyasi) yang diharuskan kepada persefahaman tahaluf yang diharamkan, kerana melanggar prinsip perjuangannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pas pernah menjalinkan tahaluf siyasi dengan DAP menerusi Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR mulai April 2008 sehingga Julai 2015.

Namun, pakatan tersebut terbubar ekoran sikap DAP yang menentang usaha Pas untuk memperjuangkan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 bagi memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah di negara ini.

Sebelum itu, Pas dan DAP pernah bekerjasama dalam Gagasan Rakyat mulai 1998 hingga 2004 namun DAP keluar daripada pakatan tersebut pada 2001 kerana tidak bersetuju dengan matlamat Pas ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Abdul Hadi memberitahu, DAP menerima konsep negara berkebajikan yang ditawarkan oleh Pas mengikut kefahamannya yang sempit, justeru membolehkan tahaluf dilakukan.

Namun, beliau berkata, apabila Majlis Syura Ulama mengeluarkan Dokumen Negara Islam yang lengkap untuk dijadikan panduan, tiba-tiba DAP mendedahkan sikapnya yang menentang Islam.

“DAP menunjukkan sikapnya terhadap konsep Negara Berkebajikan mengikut skop sekularisme yang mereka anuti.

“Pada masa yang sama, mereka secara terbuka menentang Islam dengan membela golongan yang murtad, menentang pengharaman arak dan judi, serta pelaksanaan beberapa agenda Islam yang lain, walaupun semua perkara itu dihadkan kepada penganut Islam sahaja di peringkat negeri yang diperintah oleh Pas,” jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, banyak perkara salah laku DAP yang bersahabat dengan PKR dan menggunakan Parti Amanah Negara (Amanah), menjadi ancaman kepada politik negara yang makin hari makin terserlah, khususnya terhadap kedudukan Islam dan kepimpinan Melayu Islam yang wajib dipertahankan.

“Apa yang menjadi masalah ialah PKR dan Amanah termasuk dalam buah catur yang digerakkan oleh DAP yang mendominasi dan masih bersikap ekstrem. Adapun PKR dan Amanah hanya menjadi penumpang sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette