STR
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,803 daripada 11,224 isu yang telah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sejak 2011 berjaya diselesaikan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi kenyataan memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 6 Julai lalu telah bersetuju supaya LKAN dibentangkan secara berkala dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Katanya, tindakan affirmatif sebegitu berupaya meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan menambah baik persepsi dunia terhadap Malaysia.

“JAN (Jabatan Audit Negara) akan sentiasa peka dan prihatin dalam menjalankan kuasa pengauditan untuk memeriksa dan menyiasat pengurusan wang awam dengan tumpuan kepada kepentingan rakyat dan akauntabiliti kementerian dan jabatan kerajaan terhadap wang pembayar cukai yang dibelanjakan.

“JAN akan terus menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi awam dan badan lain yang berkaitan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam usaha memartabatkan peranan Juruaudit Malaysia serta pengauditan sektor awam di persada antarabangsa, JAN telah pun memperkenalkan beberapa inisiatif baharu seperti mempelopori usaha untuk membangunkan standard pengauditan antarabangsa khusus dalam mengaudit syarikat kerajaan.

Turut dilakukan, kaedah pengauditan penilaian kendiri (self-assessment auditing) secara rintis mulai tahun 2023 yang membolehkan pemantauan lebih menyeluruh dilaksanakan terhadap aspek tadbir urus dan kedudukan kewangan syarikat kerajaan di Malaysia.

JAN juga katanya, menyumbang kepakaran melalui keanggotaan dalam ASOSAI Governing Board Member sejak tahun 2012 dengan Malaysia telah dilantik sebagai Pengerusi ASEANSAI Knowledge Sharing Committee sejak penubuhannya pada
tahun 2011.

Kenyataan berkenaan turut memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam pertemuan ringkas bersama warga JAN hari ini memberi penekanan terhadap peranan JAN dalam menjaga tadbir urus dan akauntabiliti negara yang baik.

Katanya, LKAN yang telus dan komprehensif mencerminkan keyakinan padu rakyat terhadap perkhidmatan yang disampaikan oleh kerajaan.

Malah beliau berkata, LKAN juga membolehkan pihak kerajaan mengenal pasti isu tadbir urus yang memerlukan penyelesaian jangka segera.

“Perdana Menteri seterusnya telah menzahirkan penghargaan atas usaha dan sumbangan warga JAN dalam memantapkan pengurusan kewangan sektor awam serta memperkukuh akauntabiliti dan integriti di kalangan penjawat awam,” jelasnya. – MalaysiaGazette