KUALA LUMPUR – Perdana menteri perlu menunaikan ikrar untuk mempertahankan kebebasan bersuara dan melindungi kebebasan media seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto beliau.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau sangat bimbang dengan apa yang berlaku kepada kebanyakan media sejak kebelangan ini.
“Isu sekatan bersuara ini makin berleluasa. Bermula dengan laman sesawang MalaysiaNow dan terbaru ke atas TV Pertiwi, saya melihat kerajaan PHBN semakin terdesak dan bimbang dengan gelombang penerimaan rakyat terhadap PN (Perikatan Nasional).
“Kita melihat sekatan kepada akses media ini adalah tindakan yang terdesak dan bercanggah dengan perjuangan Datuk Seri Anwar sebelum ini yang selalu membantah corak pentadbiran kerajaan terdahulu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tuan Ibrahim berkata, beliau menyokong desakan oleh veteran media yang mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak bertindak seolah-olah sebagai “Big Brother” (Abang Besar) dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian.
Ini kerana, katanya, sudah sampai masanya rakyat dicelikkan dan difahamkan tentang sesuatu perkara dengan maklumat benar.
Artikel berkaitan: Lapan tokoh desak SKMM berhenti jadi ‘Abang Besar’ kawal media
SKMM jawab dakwaan jadi ‘Abang Besar’ kawal media
Malah, kerajaan harus memberi rakyat peluang mempertimbangkan pilihan mereka hasil dari kebebasan bermaklumat.
Baru-baru ini, lapan veteran media tempatan menyatakan kebimbangan apabila kebanyakan kandungan portal berita yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ dan hanya pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan, disekat oleh SKMM.
Melalui kenyataan bersama, mereka meluahkan kebimbangan itu apabila SKMM sejak akhir-akhir ini dilihat sering memanggil pengamal media untuk memberikan penjelasan mengenai kandungan yang dilaporkan menerusi portal berita dan laman dalam talian masing-masing.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Dr Chamil Wariya.
Turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran. – MalaysiaGazette