KUALA LUMPUR – Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 berperanan penting dalam menyokong kerangka Ekonomi MADANI dan mencapai sasaran yang ditetapkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, antaranya sebagai peneraju ekonomi Asia dan berada di tangga antara 30 teratas ekonomi terbesar dunia dan 12 teratas bagi daya saing global.
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata, NIMP 2030 akan menawarkan ekosistem yang sesuai bagi menyokong ekonomi dalam transformasinya sebagai sebuah negara perindustrian berteknologi tinggi, ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.
Menurutnya, pendekatan berasaskan misi dalam NIMP 2030 yang menggalakkan kompleksiti ekonomi lebih tinggi, memanfaatkan teknologi dengan agresif serta diperkuatkan dengan prinsip kemampanan dan keterangkuman, adalah penting pada masa ini untuk mendorong Malaysia ke tahap perindustrian dan pertumbuhan selanjutnya.
“Pelan induk ini tertumpu dalam menggerakkan sektor pembuatan kita terhadap rantaian nilai kepada lebih banyak produk berteknologi tinggi, nilai tambahan tinggi dan kompleks serta membangunkan kemampuan teknologi negara, yang akan berperanan penting menyokong ekonomi pembuatan berteknologi tinggi.
“Ini kemudiannya akan menyediakan peluang pekerjaan lebih baik kepada rakyat Malaysia termasuk golongan belia, dan pada masa sama membangunkan tenaga kerja dari segi kemahiran dan ilmu sebagai memenuhi keperluan tenaga kerja yang lebih berkemahiran tinggi untuk menyokong produk dan perkhidmatan lebih kompleks dan berteknologi tinggi,” katanya dalam kenyataan.
FMM berpandangan bahawa pelan induk itu perlu diterjemahkan kepada pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi dan pada masa sama membuka lebih banyak akses pasaran kepada pengilang tempatan termasuk pasaran yang menetapkan keperluan kepada produk dan perkhidmatan yang mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurutnya, dengan bersandarkan pelaksanaan ekosistem yang holistik, tentu sahaja akan menambah daya tarikan Malaysia kepada pelabur asing dan domestik, terutamanya bagi segmen berpandukan teknologi tinggi dan inovasi.
NIMP 2030 juga akan menumpukan perhatian kepada beberapa bidang kritikal ke arah menyokong transformasi ekonomi ke tahap perindustrian yang lebih tinggi, katanya.
Sementara itu, MIDF Research menjangka nisbah nilai tambahan sektor pembuatan Malaysia akan meningkat dengan sokongan penyetempatan input yang lebih luas, penerimagunaan pendekatan berintensifkan modal, melibatkan diri dalam pengeluaran atasan sektor teknologi dan perhatian yang lebih tinggi dalam aktiviti hiliran produk berasaskan komoditi.
“Berbanding dengan Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) (dilancarkan pada 2006), NIMP 2030 melaksanakan satu lagi pendekatan transformasi, beralih daripada pendekatan berasaskan sektor kepada pendekatan berasaskan misi.
“Pendekatan ini menggariskan pelan tindakan bersasar dan terarah di seluruh sektor, yang dikenali sebagai strategi horizontal, berbanding memberikan tumpuan kepada pelan tindakan vertikal bagi sektor individu,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (Amcham) pula berharap untuk meneruskan kerjasama dan perkongsian aktifnya dengan kerajaan Malaysia dan berperanan seiring dengan empat misi utama NIMP 2030.
“Amcham percaya bahawa penglibatan dalam rundingan tetap bersama-sama pihak berkepentingan bagi menangani cabaran pelaksanaan akan menggalakkan perbincangan dalam kalangan syarikat/pelabur Amerika Syarikat dan pembuat keputusan kerajaan untuk mengenal pasti laluan terbaik menuju pelaburan mampan dan mengutamakan ESG demi memastikan kejayaan pelaksanaan pelan induk ini.
“Tadbir urus yang berhemat dalam meneliti dan melaksanakan pembaharuan serta projek yang dinyatakan serta mengekalkan komunikasi yang berkesan dengan pihak berkepentingan menerusi kajian semula berkala terhadap pencapaian penting, akan turut membantu menjayakan pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat melancarkan NIMP 2030, satu kerangka dasar yang komprehensif merangkumi misi, keutamaan dan pelan tindakan untuk mentransformasikan sektor perkilangan Malaysia. – BERNAMA