Sebahagian PATI yang ditahan di TBS. Foto JIM

KUALA LUMPUR -Cubaan 36 orang pendatang tanpa izin (PATI) untuk memasuki negara ini gagal apabila mereka diberkas dalam operasi khas yang dijalankan di Terminal Bas Bersepadu (TBS), akhir bulan lalu.

Operasi ini disertai oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya pada 30 Ogos lalu, kira-kira jam 4.30 petang.

Ia rentetan kejayaan operasi terdahulu yang dijalankan di lokasi yang sama pada hujung Disember tahun 2022 dan Januari 2023.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkata, operasi ini dilaksanakan hasil daripada maklumat awam dan risikan, membawa kepada penahanan 32 lelaki dan empat perempuan warga asing yang menaiki bas daripada Stesen Bas Ekpress Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Pasukan operasi berjaya mengesan tiga buah bas ekspres yang berasingan membawa PATI di Lebuhraya Pantai Timur dan mengekori ketiga-tiga buah bas tersebut sehingga ke TBS.

“Pemeriksaan dibuat sebaik sahaja kesemua penumpang turun daripada bas.

“Hasil pemeriksaan tersebut pasukan operasi telah berjaya mengesan dan menahan 20 lelaki warganegara Bangladesh, 12 lelaki dan empat perempuan warganegara Myanmar berumur antara 19 tahun hingga 45 tahun,” kata JIM dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, hasil semakan lanjut ke atas pasport mereka yang ditahan, mendapati tiada cap keselamatan yang masih sah dalam pasport dan terdapat juga PATI yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

Semakan juga dibuat melalui sistem imigresen dan mendapati terdapat PATI yang memiliki rekod senarai hitam berdasarkan rekod kesalahan lampau
.
Modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk PATI ke Malaysia daripada negara asal mereka melalui negara jiran dan kemudianya diseludup masuk melalui laluan haram.

PATI berkenaan akan dibawa ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk bekerja secara tidak sah dengan menggunakan pengangkutan awam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM10,000 kepada setiap PATI.
.
Kesemua PATI telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette