Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) bersama jemaah Rehlah Islahiyyah Di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, hari ini

KUANTAN – Kerajaan negeri berhasrat untuk memperluaskan program ‘kembara penyucian jiwa’ atau Rehlah Islahiyyah di setiap daerah di negeri ini sebagai agenda dakwah penyebaran dakwah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengisian program sedemikian akan diteruskan di Lipis dan daerah lain setelah melihat sambutannya yang baik daripada umat Islam di seluruh negara.

Menurutnya agama Islam yang merupakan syumul yang perlu dipelihara dan kerajaan negeri di bawah pimpinannnya mengalu-alukan penganjuran program dakwah dan tarbiah kepada semua golongan peringkat umur.

“Pogram ini elok dibuat selalu.Saya sangat mengalu-alukan sebegini, jadi bercadang nak buat di Lipis dan di daedah seluruh daerah di Pahang.

“Program sebegini memang elok untuk anak-anak muda, kita lihat waktu maghrib banyak anak muda di kompleks membeli-belah, yang sepatutnya mereka ada di rumah atau di masjid.

“Program sebegini patut diberi kesedaran dan apabila ia mendapat sambutan dan bermakna mendapat kesedaran. Agama Islam ini perlu dijaga,” katanya.

Beliau demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Program Rehlah Islahiyyah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur, di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, hari ini.

Wan Rosdy turut menzahirkan niatnya untuk menyertai program dakwah sedemikian.

“Jika diizinkan panjang umur, sihat tubuh badan sikit saya juga akan bersama sertai.

“Perjuangan yang dilakukan meluluskan peruntukan berkaitan pendidikan, agama dan dakwah merupakan kerja dakwah yang saya lakukan,” katanya.

Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Haji Zulkifle Ali Al-Hafiz.

Sementara itu katanya, Pahang sentiasa berusaha mempertingkat usaha penyebaran dan perkembangan dakwah Islam menerusi medium insititusi pendidikan berteraskan agama.

Ia terbukti dengan penubuhan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Maahad Tahfiz Turath, Sekolah Rendah Tahfiz dan Tadika Tahfiz negeri.

Selain itu katanya, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang juga menaja pelajar ke universiti di Timur Tengah.

Malahan peruntukan turut diberikan menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bagi pengembangan institusi masjid dan surau, pusat tahfiz, termasuk kepada mualaf, jemaah haji dan pelajar tahfiz.

“Kita beri peruntukan kepada 183 pusat tahfiz, RM2,000 setiap seorang dan meningkat kalau kedudukan kewangan bertambah.

“Sebanyak RM6.88 juta semua surau dan masjid di Pahang, duit poket kepada jemaah haji sebanyak RM500.

“Bahkan kita negeri yang pertama menubuhkan universiti Islam, Pahang berhasrat nak buat universiti hafazan di Pahang, itu merupakan usaha untuk berdakwah,” katanya. – MalaysiaGazette