Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainudin secara sinis menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keputusan Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini yang melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada kesemua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Ketua Pembangkang itu berkata, keputusan tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan walaupun wujud prima facie serta kes sudah di peringkat bela diri.

“Cikgu mana tak sayang anak murid. Lagi-lagi kalau anak murid itu sanggup melakukan apa saja untuk cikgu, hatta menggadai prinsip perjuangan dan maruah parti. Mestilah ada timbal-balasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata demikian mengulas mengenai Ahmad Zahid yang dilepas tanpa bebas daripada kesemua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Timbalan Perdana Menteri selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bahawa Jabatan Peguam Negara mahu memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Dalam nada sama, Hamzah berkata, Perikatan Nasional (PN) berharap dengan pelepasan Presiden UMNO itu akan meyakinkan pelabur luar untuk melabur di negara ini.

“Saya percaya dengan pelepasan Zahid Hamidi ini, pelabur akan bertambah yakin kerana terbukti pemimpin kita adalah pemimpin yang sentiasa dilindungi, lebih-lebih jika memegang tampuk kepimpinan tinggi dalam negara.

“Ekonomi negara juga akan berkembang lebih pesat dengan pelepasan ini dan kita perlu yakin bahawa masalah harga barang serta kenaikan kos sara hidup akan boleh diselesaikan dengan segera selepas pelepasan ini. Tahniah dan Syabas kepada Zahid Hamidi,” katanya.

Pada hari ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa kredibiliti Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan juga seorang reformis telah musnah.

Katanya, Anwar akan terus ‘membersihkan’ imej semua yang bersekongkol dengan dia dan terus mencemarkan imej mereka yang menentangnya. – MalaysiaGazette