Mansor Ali
Status asal Mansor Ali pada 18 Mac 2020 sebelum diedit oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Gambar: Facebook Mansor Ali

KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Facebook ‘Mansor Ali’ menafikan dia pernah bertaklik talak tiga terhadap isterinya jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan kekal sehingga Ogos lalu.

Dia menjelaskan, status asal dalam Facebook yang memaparkan gambarnya bersama isteri telah diedit oleh pihak tertentu sehingga menimbulkan fitnah.

Mansor yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, ramai yang hairan mengapa dia menjadi mangsa fitnah sedangkan dirinya hanya manusia biasa.

“Ya! Saya adalah insan yang terpilih untuk menempuh ujian yang mahal hebat ini… dan juga ujian untuk kamu semua… untuk menahan diri dan lidah dari menyebarkan fitnah tersebut.

“Ujian yang maha hebat ini yang diturunkan Allah pada saya… jika saya berjaya melaluinya, maka besar juga ganjaran yang akan diberi nanti,” katanya dalam hantaran Facebook kelmarin.

Tangkap layar yang dikatakan telah diedit itu dipercayai tular sejak sebulan lalu ketika kempen pilihan raya enam negeri sedang hangat berlangsung.

Isu tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada para netizen malah seorang menteri Kabinet juga telah mengulas mengenainya baru-baru ini.

Semakan MalaysiaGazette mendapati status asal Mansor bagi meraikan ulang tahun perkahwinannya yang ke-26 telah disiarkan dalam laman Facebook miliknya pada 18 Mac 2020.

Mansor memberitahu, dia akan melalui fitnah tersebut dengan penuh kesabaran serta berharap saudara-saudara seagama yang lain bersabar serta menahan diri daripada terjerumus dalam dosa besar.

Dia turut menasihatkan umat Islam agar cuba mengamalkan sedaya upaya mungkin solat pada awal waktu dan secara berjemaah di masjid atau surau.

“Serta jadikan kebiasaan kita dalam sehari untuk bertasbih dan berzikir. Insya-Allah jiwa kita akan dipandu ke arah kebaikan,” jelasnya. – MalaysiaGazette