Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berucap pada Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen Malaysia di Tadika Kemas Kompleks Kediaman Kakitangan Awam, Nilai, Negeri Sembilan. Foto WAN NABIL NASIR, 04 SEPTEMBER 2023.

NILAI – Keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan satu jaminan yang boleh memberi kesan kepada calon Kerajaan Perpaduan untuk memenangi dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor, ketika ini.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana, keputusan sama Mahkamah Tinggi sebelum ini juga membebaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Keputusan dibuat oleh mahkamah melalui proses sewajarnya. Beberapa minggu lepas, mahkamah juga membebaskan Presiden Bersatu.

“Kalau hari ini mahkamah telah membuat keputusan sama dan itulah keputusan mahkamah.

“Saya tak nak buat andaian lebih dari itu, jauh nak menjangkakan kesan keputusan mahkamah kepada keputusan PRK,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bahawa Jabatan Peguam Negara mahu memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Dalam pada itu, Saifuddin tidak hairan jika keputusan Mahkamah Tinggi itu digunakan Perikatan Nasional (PN) untuk memenangkan calon dalam PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini.

“Apa pun mereka nak guna pakai itu memang tindakan sebagai satu parti politik, dia akan terus berlaku.

“Dengan atau tanpa keputusan mahkamah hari ini, ia akan diteruskan, jadi saya anggap itu perkara biasa dalam politik,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pudin dah ada DAH… pokka betul Pudin ni. KES Muhyidin belum dibicarakan bahawa terdapat kelemahan tuduhan.
    KES ZAHID boleh disamakan hampir-hampir KES Lim Guan Eng.. yang Pudin sembang macam pandai tu dah KENAPA?
    harap ANWAR IBRAHIM lantik senator Suhaizan Kaiat ganti Pudin pokka lepas PRK Pulai.

Comments are closed.