Temubual Eksklusif bersama Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak boleh memainkan peranan sebagai seorang negarawan dengan membantu mengukuhkan ekonomi dan menstabilkan politik negara.

Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM) Prof. Emeratus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, Najib telah membuktikan keupayaannya dalam bidang ekonomi ketika mentadbir negara.

Menurutnya, Najib mempunyai legasi yang kuat kerana membantu golongan miskin dan memperkenalkan dasar ekonomi yang bagus seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Najib seorang sarjana muda dalam bidang ekonomi. Selain daripada menerima nasihat pakar ekonomi beliau sendiri ada pengetahuan ekonomi.

“Mungkin PM lain tak ada pengetahuan sedalam beliau seperti Perdana Menteri Ke-10 (ada ijazah) Pengajian Melayu, Tan Sri Muhyiddin, Pengajian Melayu Islam, Datuk Seri Ismail Sabri (pula) dalam undang-undang.

“Mereka lebih menerima nasihat-nasihat daripada pakar ekonomi. Mereka sendiri tak ada ilmu. Najib ada ilmu. Dia sendiri boleh mencetuskan idea tanpa diberitahu oleh penasihat,” kata Kok Seong kepada MalaysiaGazette.

Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Perpaduan Nasional Majlis Profesor Negara itu berkata demikian ketika diminta pandangan mengenai peranan yang boleh dimainkan Najib sekiranya dibebaskan daripada penjara.

Kok Seong berkata, Najib masih boleh memainkan peranan sebagai negarawan memperkukuhkan ekonomi Malaysia walaupun ketika beliau berada dalam penjara.

“Maknanya untuk kebaikan negara dalam keadaan ekonomi yang begitu merudum sekarang ini. Sebagai pakar ekonomi (Najib) ada sarjana muda dalam bidang ekonomi. Maknanya lebih sesuai.

“Tak dapat dinafikan legasi Najib itu ada walaupun dari segi lain beliau kecundang. Kita harus imbangilah dan bimbing masyarakat jangan kerana sesuatu rosak segala-gala kebaikan. Yang baik kita kenang dan puji,” tegasnya.

Mengenai kestabilan politik, Kok Seong berkata, bekas Perdana Menteri itu mampu memainkan peranan untuk memperkuatkan semula UMNO sekiranya dibebaskan daripada penjara.

Katanya, Najib juga mampu untuk membina semula UMNO secara perlahan-lahan hingga menjadikan parti itu hebat semula.

Menurut penganalisis dan pemerhati politik tempatan itu, Najib masih mempunyai aura untuk menarik semula sokongan orang Melayu yang kini dilihat beralih kepada Perikatan Nasional.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk Najib menjadi perantara dalam ‘meneutralkan’ DAP dan PKR yang didakwa menjadi halangan untuk majoriti orang Melayu menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Sebab faktor (penolakan) sokongan orang Melayu kepada PH ini ada DAP. Parti itu sejak hari pertama ditubuhkan dan sampai sekarang mereka ada cita-cita negara yang sifatnya lain.

“Mereka mahu kesamarataan melalui konsep Malaysian Malaysia. Maknanya apabila sama rata tidak ada keistimewaan orang Melayu sebagai penduduk asal, majoriti dan dominan.

“Orang Melayu pun tidak menyokong PKR sebab parti itu dilihat sebagai liberal,” katanya.

Menurut Kok Seong, Najib bagaimanapun pastinya akan berhadapan kesukaran untuk menarik orang Melayu untuk menyokong kerajaan yang didalamnya ada PH.

Beliau turut tidak menolak ‘formula’ pembebasan Najib boleh membantu menstabilkan sokongan orang Melayu terhadap Kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Bagaimanapun timbul persoalan sejauhmana komitmen mereka yang telah menjadi kerajaan dan mempunyai kuasa untuk membebaskan Najib.

Ini lebih-lebih lagi jika ada pihak yang risau terhadap pengaruh Najib yang kuat di dalam UMNO.

“Mereka boleh sahaja membuat tindakan (membebaskan Najib) itu kerana mereka berkuasa. Dan ada cara untuk membebaskan Najib dari penjara untuk berperanan yang mulia demi negara dan untuk menstabilkan politik negara.

“Semua di tangan mereka. Adakah mereka mahu menggunakan sifir sedemikian iaitu untuk Najib berperanan besar dalam kestabilan politik negara ini?

“Kalau mereka mahu dan ikhlas perkara ini boleh terjadi pun sebab kuasa itu boleh mengadakan benda yang tidak ada dan meniadakan benda yang ada. Itu hakikatnya kuasa,” tegasnya.-MalaysiaGazette