Dr. Ram Al-Jafri Saad (dua dari kiri), Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam (tiga dari kiri) dan peserta menanam pokok bakau.

LANGKAWI – Dalam usaha melestarikan alam sekitar, Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Program Penanaman Pokok Bakau (Geomangrove) Di Kawasan Paya Bakau Sungai Kilim, Mukim Air Hangat, Langkawi, baru-baru ini.

Penolong Naib Canselor, UUM COB, Prof. Dr. Ram Al-Jafri Saad berkata, program yang menyasarkan pemuliharaan hutan bakau dan pembangunan komuniti ini dijalankan bagi menyahut saranan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang meletakkan sasaran sebanyak 2,000 Pokok Bakau ditanam di sekitar Langkawi pada 2023.

Jelasnya, pelaksanaan program ini bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara.

“Penanaman pokok itu penting dalam menjaga pesisiran pantai daripada ancaman hakisan arus ombak yang kuat selain memelihara ekosistem di Paya Bakau Sungai Kilim ini.

“Usaha ini juga dapat memulihara pesisiran pantai sebagai lindungan semulajadi bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam dan hakisan tanah selain mewujudkan zon penampan bagi menahan kekuatan ombak dan angin kencang serta mencegah pencemaran alam sekitar.

“Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, program seperti ini amatlah bersesuaian kerana dapat memupuk semangat patriotik dan cintakan negara di samping menjalin kerjasama antara universiti, industri dan komuniti demi kelestarian flora dan fauna di Malaysia,” ujarnya.

Program yang dijalankan dengan kerjasama pihak Kumpulan Affin Bank Berhad, LADA, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM UUM) serta penduduk, berjaya menyemai benih dan menanam Pokok Bakau yang terdiri daripada dua spesies iaitu Rhizophora Apiculata (bakau minyak) dan Rhizophora Mucronata (bakau kurap).

Sementara itu, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, program penanaman pokok bakau (Geomangrove) ini adalah satu pendedahan komuniti melalui situasi sebenar kepentingan penjagaan dan pemuliharaan hutan paya bakau kepada penduduk.

Pemilihan lokasi Sungai Kilim, Pulau Langkawi kerana kawasan tersebut sesuai dengan ekosistem pinggir pantai dan paya bakau.

Katanya, melalui aktiviti sihat ini, peserta dapat mengenali kepelbagaian biologi dan sumber hutan bakau, memahami fungsi dan peranan ekosistem hutan bakau serta menyemai anak benih dan menanam anak pokok untuk pemuliharaan hutan bakau.

“Memulihkan habitat pesisiran pantai yang menjadi koridor kepada kepelbagaian biologi serta memperkayakan sumber hasil pantai dan meningkatkan kualiti alam sekitar dan nilai estetika sebagai daya tarikan pelancong,” tambahnya.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bertujuan memberi impak positif kepada alam sekitar sambil memupuk pertumbuhan mampan dan pemerkasaan dalam komuniti setempat.

“Dalam keadaan di mana cabaran alam sekitar semakin mendesak, kepentingan kerjasama antara entiti korporat dan institusi akademik menjadi semakin penting. Program CSR ini menjadi contoh bagaimana sinergi dinamik antara industri dan akademia dapat menangani masalah alam sekitar sambil memperkasakan komuniti tempatan.

“UUM menjadi rakan strategik dalam program CSR ini dan teruja untuk menggabungkan sumber akademik kami dengan sokongan korporat untuk memacu perubahan bermakna dalam pemuliharaan hutan bakau dan pembangunan komuniti.

Projek ini adalah hasil dari inisiatif Program CEO@Faculty yang mana Dr. Safwan Marwin Abdul Murad dari SBM menjalani sangkutan perkhidmatan dengan Affin Bank selama enam bulan.

“Inisiatif ini menunjukkan bagaimana amalan korporat yang bertanggungjawab boleh sejajar dengan penjagaan alam sekitar dan pembangunan komuniti tambahan pula dengan situasi dunia yang sedang bergelut dengan krisis alam sekitar, kerjasama sebegini menjadi suar harapan, menerangi laluan ke arah masa depan yang mampan serta harmoni,” ujarnya.

Program yang disertai lebih 50 peserta itu diakhiri dengan kibaran Jalur Gemilang serta laungan merdeka sebagai simbolik sambutan Hari Merdeka yang ke-66. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast