Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menunjukkan dokumen Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (GPP PSB) selepas sidang media di Ibu Pejabat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya, pagi ini. Foto: NIZAM ZAIN

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia menggunakan logo kerajaan sahaja pada bantuan yang disalurkan kepada rakyat pada masa depan.

Menterinya, Nga Kor Ming akur kepada arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak lagi menggunakan logo parti pada bantuan kepada rakyat.

“Kita akur arahan daripada Perdana Menteri, semua saluran kerajaan hanya pakai logo kerajaan sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPKT hari ini.

Terdahulu Kor Ming melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (GPP PSB).

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri menegur Kor Ming kerana menggunakan lambang DAP bersama logo kerajaan pada kotak bantuan kepada rakyat semasa musim pilihan raya.

Anwar berkata, sebarang bentuk penyaluran bantuan kerajaan sepanjang tempoh berkempen, termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram tidak boleh menggunakan lambang parti.

Sebelum ini, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak dilihat menggunakan logo parti pada replika cek peruntukan kerajaan kepada beberapa sekolah di Perak.

Ini selepas Kor Ming dilihat berada di dalam gambar penyerahan replika cek tersebut yang mengandungi logo DAP dan Pakatan Harapan di beberapa sekolah di Perak. – MalaysiaGazette