Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa ahli-ahli Dewan Rakyat membuktikan kesungguhan membanteras rasuah dengan mempercepatkan kelulusan pindaan perlembagaan itu.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, Parlimen perlu diiktiraf sebagai institusi yang telus bertanggungjawab melakukan semak dan imbang dalam isu pelantikan serta penyingkiran Peguam Negara.

Katanya, artikel 145 Perlembagaan Persekutuan harus dipinda sebagai langkah utama ke arah pengasingan kuasa Peguam Negara dengan pendakwa raya.

“Keputusan kes berprofil tinggi Timbalan Perdana Menteri membuktikan perlunya pengasingan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, buat masa ini, peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya terletak pada individu yang sama.

Secara dasar, tugas Peguam Negara adalah sebagai penasihat undang-undang kerajaan atau badan eksekutif, katanya.

“Timbalan Perdana Menteri adalah dari badan eksekutif. Apabila wujud kes jenayah dan pendakwaan yang membabitkan ahli daripada badan eksekutif atau pentadbiran negara, pendakwa raya perlu bertindak secara bebas dan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

“Dalam rangka dan sistem sedia ada, persepsi atau kebarangkalian wujud pertindihan kepentingan atau campur tangan politik dalam membuat keputusan untuk mendakwa atau tidak individu yang berkepentingan kepada kerajaan mahupun pembangkang, tidak boleh diketepikan.

“Apatah lagi Timbalan Pendakwa Raya kes secara mengejut diumumkan bersara awal dan Peguam Negara pula tidak dilanjutkan perkhidmatan,” tambahnya.

Kata Shahir lagi, rakyat Malaysia tidak bodoh dalam menilai setiap tindak-tanduk kerajaan dan pembangkang.

Ujarnya, alasan pendakwaan bersifat politik seolah-olah memperkecilkan intelek rakyat Malaysia dan pada masa sama implikasi seterusnya adalah mengenai integriti tatakerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang seakan-akan rapuh dan tidak bermutu apabila pendakwa raya menarik balik kes kerana alasan kes itu bermotifkan politik.

“Ini adalah kes orang politik kedua digugur pendakwa raya. Sebelum ini kes rasuah Lim Guan Eng yang juga ada kes prima facie dan berpuluh-puluh saksi telah dipanggil,” katanya. – MalaysiaGazette