Panglima Tentera Darat ke-29, Tan Sri Mohammad bin Ab Rahman bercakap pada media setelah selesai Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Malaysia ke-29 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, KL. Foto QURRATU AINI, 5 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pasukan Udara Tentera Darat menjangka menerima helikopter jenis Black Hawk daripada negara Turkiye pada hujung tahun ini atau awal Januari 2024.

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, proses perolehan aset-aset berkenaan telah selesai dijalankan sepenuhnya.

“Kita sebagai permulaan akan menerima dua buah Black Hawk menjelang awal Januari tahun depan. Dalam pada masa yang sama, kita juga akan menghantar juruterbang tentera darat kita ke Turkiye untuk menjalani latihan mengendalikan helikopter tersebut bermula Oktober tahun ini.

“Di Turkiye nanti, mereka akan menjalani latihan simulator pengendalian Black Hawk dan seterusnya secara berperingkat helikopter itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh juruterbang tentera darat di sini kelak,” katanya dalam sidang media yang di Kem Perdana Sungai Besi di sini pagi ini.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-29.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Muhammad Hafizudddeain Jantan ke istiadat yang sama.

Pada sidang media yang sama, Mohammad berkata,  Tentera Darat juga melaksanakan pemodenan aset atau menaik taraf aset-aset tentera sebagai memanjangkan tempoh perkhidmatannya.

Kata beliau, negara-negara maju juga menggunakan kaedah sama untuk melanjutkan usia persenjataan sedia ada di dalam perkhidmatan.

“Kaedah ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan pada masa sama meningkatkan tempoh usia boleh guna platform itu yang berkesan digunapakai oleh negara-negara maju.

“Kaedah ini boleh diguna pakai untuk memodenkan kenderaan kita yang hampir jangkau usia khususnya kenderaan tempur kita yang berperisai ini meningkatkan usianya sekurang-kurangnya 15 hingga 20 tahun lagi sekaligus jimatkan kos hampir separuh daripada kos perolehan baharu,” tegasnya. – MalaysiaGazette