KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dalam tindakan menjalankan pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) terhadap syarikat Sepadu Ikhlas Sdn. Bhd, untuk menentukan keperluan tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas pemilik lori yang dipercayai punca kepada kemalangan yang mengakibatkan enam beranak maut.
Hasil siasatan terkini, JPJ mendapati pemandu kenderaan VEE4751 memiliki tujuh saman aktif daripada 19 rekod saman JPJ.
Dalam masa yang sama, kenderaan berkenaan juga mempunyai satu rekod saman aktif Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
APAD telah mengambil tindakan susulan dengan mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali berlesen yang terlibat bertarikh 4 September 2023.
Menurut APAD, berdasarkan laporan yang diterima didapati lori berkenaan dipercayai telah gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang dan
kanan kenderaan malang berkenaan.
Lanjutan daripada itu, APAD boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah seksyen 62, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dengan merujuk kepada kesalahan melanggar syarat berkanun lesen pengendali di bawah seksyen 58(1) Akta 715.
“Ditegaskan bahawa di bawah seksyen berkenaan, pengendali berlesen dan pemandunya bertanggungjawab dalam memberikan keutamaan yang paling tinggi kepada keselamatan penumpang dan pengguna jalan yang lain.
“Di bawah Akta yang sama juga, mana-mana pengendali yang didapati melanggar mana-mana syarat lesen boleh dikenakan tindakan dan sekiranya disabitkan kesalahan didenda tidak kurang daripada RM1,000.00 tidak lebih dari RM500,000.00 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Kementerian Pengangkutan sekali lagi menegaskan bahawa tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Siasatan awal yang melibatkan penglibatan pelbagai agensi di bawah MOT sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian, seterusnya memastikan insiden
seumpama ini dapat dielakkan daripada berulang.
Dalam masa yang sama, APAD sedang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS),untuk mendapatkan laporan teknikal siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan hasil laporan tersebut dijangka diperolehi dalam masa terdekat.
Insiden kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Segamat telah mengorbankan enam beranak.
Kemalangan berlaku setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori. – MalaysiaGazette
Boleh dikatakan rata rata pemandu kenderaan berat amat jarang dan tidak prihatin langsung terhadap keselamatan pemandu kenderaan lain. Tindakan tegas harus dipraktikkan bukan setakat cakap kosong sekadar menyedapkan hati pembaca. JPJ, PDRM, APAD sepatutnya lebih prihatin.