CYBERJAYA – Universiti Multimedia (MMU) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk meningkatkan lagi bakat bola sepak dalam kalangan pelajarnya, semalam.

Ini merupakan kali pertama MMU memeterai MoU dengan persatuan bola sepak, yang mana ia bakal mengukuhkan pembangunan pelajar dalam sukan serta memberi peluang kepada pemain KLFA untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di universiti berkenaan.

MoU itu ditandatangani oleh Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud dan Naib Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar di kampus MMU Cyberjaya.

Sambil melahirkan rasa gembira dengan kerjasama itu, Mazliham menyifatkan ia sebagai satu lonjakan yang besar untuk pembangunan sukan di MMU dan boleh meningkatkan tahap kemahiran pemain-pemainnya bagi Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Saya amat berbesar hati dengan kesediaan KLFA dalam membina hubungan kerjasama ini.

“Adalah menjadi harapan kami agar pemain bola sepak MMU mendapat latihan intensif yang membantu kami muncul sebagai universiti swasta pertama yang menjuarai Liga Bola Sepak IPT,” katanya pada majlis menandatangani MoU tersebut.

Perjanjian itu juga akan membolehkan pemain-pemain KLFA mendapat akses ke pendidikan tinggi dalam pelbagai program di MMU.

Dengan kelayakan akademik, mereka boleh mendapat peluang kerjaya yang cerah jika mereka ingin menceburi bidang lain pada masa hadapan.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada KLFA atas kerjasama itu, Mazliham berkata, ketika ini terdapat dua pelajar MMU yang bermain untuk Piala Belia Bandaraya KL dan tiga lagi pelajar dipilih untuk beraksi dalam Piala Presiden Bandaraya KL.

Pasukan bola sepak MMU memperoleh kedudukan keenam dalam Liga Bola Sepak IPT Divisyen 1 dari Oktober 2022 hingga Februari 2023.

Ia adalah suatu peningkatan yang baik berbanding ranking tahun lalu yang mana pasukan MMU berada di tangga kesembilan liga itu.

Sementara itu, Syed Yazid berkata, MoU itu merintis kerjasama dalam usaha membangunkan bakat-bakat baharu untuk bidang bolasepak di IPT dan juga di peringkat tanah air pada masa depan.

“Kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak sama ada dalam pembangunan pelajar mahupun kemajuan sukan negara,” tambahnya.

Menurutnya, KLFA berbesar hati ingin berkongsi kepakaran terutamanya dari sudut kejurulatihan, kecergasan, fisioterapi, dan taktikal permainan bagi membantu pasukan MMU menjuarai sesuatu kejohanan bola sepak.

Turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian itu ialah Naib Presiden Pengalaman Pelajar, Keusahawanan dan Pembangunan (SEED) MMU, Prof Dr Wong Eng Kiong dan Setiausaha KLFA, Nokman Mustaffa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast