Raymond Goh.

KUALA LUMPUR – Penyampai berita veteran TV3 Raymond Goh masih hidup dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Petaling Jaya, menurut kenyataan keluarganya hari ini.

Menurut isterinya Faridah Teh dan ahli keluarganya, khabar angin dan laporan yang tersebar mengenai kematian Goh, adalah palsu.

“Kami faham dengan kejutan dan kembimbangan disebabkan khabar angin itu. Tolong abaikan mana-mana sumber yang telah menyebarkan maklumat yang tidak tepat ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan ahli keluarganya memohon kerjasama semua pihak untuk membuang dan mengelakkan daripada menyebarkan berita palsu, gambar yang tidak sesuai atau hantaran mengenai kematian Goh.

“Kami menggesa semua individu dan media, untuk mengesahkan fakta yang ada, sebelum menyebarkan sebarang berita,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, mereka akan memberikan maklumat terkini mengenai keadaan Goh menerusi kenyataan rasmi.

Ahli keluarga Goh berterima kasih atas sokongan dan ingatan terhadap beliau dan meminta semua pihak untuk terus mendoakan kesejahterannya.

Penyampai berita itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang penyakit angin ahmar dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Petaling Jaya, Selangor.

Goh atau nama Islamnya Mohd Zaman Goh memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 o’clock news dan kemudian beralih kepada Nightline di stesen televisyen berkenaan.

Beliau telah berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan kini turut menjadi jurulatih untuk pengucapan. – BERNAMA