Para pelajar FPSK UMS bersama pelajar dan guru-guru daerah Pitas, Sabah.

KOTA KINABALU – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) meluncurkan siri jerayawara melalui Program Sejahtera Masyarakat Melalui
Pendidikan Profesional (Prospek) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan, Pitas, baru-baru ini.

Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree yang menjalankan fungsi Dekan FPSK ketika mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, Prospek
bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar dari kawasan luar bandar untuk melanjutkan pengajian.

“Program yang bersifat tanggungjawab sosial  komuniti (CSR) ini dapat memberikan akses kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan sains kesihatan di UMS.

“Pelaksanaan Prospek FPSK UMS melibatkan empat fasa utama, iaitu fasa jerayawara yang melibatkan aktiviti perkongsian maklumat mengenai PROSPEK sebelum masuk ke fasa pemilihan pelajar melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Fasa ketiga ialah fasa bimbingan melibatkan aktiviti pemantauan prestasi pelajar seperti program mentor mentee, kem kecemerlangan dan motivasi,” katanya.

Menurutnya, fasa terakhir ialah fasa pendaftaran yang melibatkan bantuan untuk mendaftarkan pelajar terpilih melanjutkan pengajian di peringkat asasi sains di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS.

“Diharapkan program ini bakal memberi manfaat kepada masyarakat Sabah sejajar dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) tahun 2021-2025 melalui agenda Pemerkasaaan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Fasa jerayawara Prospek seterusnya akan diadakan di daerah Kota Marudu, Kudat dan Kota Belud.

“Semua daerah di Zon Utara Sabah tersebut merupakan projek sulung dan ambilan kohort pertama Prospek FPSK UMS,” ujar beliau.

Antara pengisian sepanjang program tersebut berlangsung adalah taklimat program asasi sains, pameran pendidikan dari U-Science dan juga FPSK, serta lawatan ke bilik Sains
Teknologi Maklumat (STEM), SMK Pinggan-Pinggan.

Lebih 300 pelajar termasuk ibu bapa dan guru-guru telah hadir ke program tersebut yang melibatkan empat buah sekolah menengah aliran sains di daerah Pitas. – MalaysiaGazette