Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – DAP harus menoktahkan prinsip Malaysian Malaysia dan negara sekular jika mereka jujur dalam membentuk Kerajaan Perpaduan dan mahu hidup harmoni bersama semua kaum khususnya Melayu dan pribumi.

Ketua Penerangan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berpendapat, sekiranya DAP dan ahli Parlimen yang pro parti itu berpegang kepada prinsip berkenaan nescaya Perlembagaan semakin terancam.

Katanya, pelbagai persoalan timbul mengenai arah tuju kerajaan Malaysia yang ditunjangi DAP dalam Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) jika prinsip itu menjadi agenda utama pemimpin kerajaan.

Ujar beliau, persoalan itu sangat berat terutama dalam membahaskan isu masa depan negara yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat bukan Melayu hari ini tidak sekali-kali dilayan secara berbeza apatah lagi dengan zalim. Semua sedar dan faham mereka adalah rakyat Malaysia di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong sebagai pemimpin tertinggi negara dan pemimpin agama Persekutuan.

“Tidak logik perjuangan Malaysian Malaysia ini dikekalkan lagi dalam parti pemerintah melainkan mempunyai niat untuk mewujudkan salah faham dalam kalangan rakyat dan ada usaha menanam kebencian serta memecahbelahkan rakyat dengan Rajanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan berkata, setiap parti dalam negara ini mempunyai perjuangan dan pandangan sendiri, namun itu bukanlah masalah untuk mana-mana pihak bergabung menjadi satu pakatan.

Justeru, beliau berkata, DAP tidak perlu menggugurkan slogan Malaysian Malaysia kerana ia sudah dijelaskan sebelum kerajaan perpaduan dibentuk.

Malah, katanya, persefahaman sudah dicapai agar semua parti dalam gabungan kerajaan perpaduan tidak menyentuh perlembagaan parti masing-masing.

Mengulas lanjut, Nasrul Ali Hasan berkata, DAP dan pemimpin kerajaan wajib menghayati pengiystiharan Islam dan orang Melayu yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Putra baru-baru ini yang menggariskan apa yang perlu dibuat bagi menjaga negara serta membangun rakyat.

Beliau tidak yakin penjelasan Anthony boleh memuaskan hati dan memberi jaminan terhadap masa depan orang Melayu serta agama Islam tidak terancam walaupun tiada bantahan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Pada ketika ini untuk menyedapkan hati pengundi majoriti Melayu dan pribumi, DAP berani mengatakan mereka tidak akan mengganggu-gugat kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu, pribumi dan agama Islam.

“Tetapi ia tetap sekadar lisan kerana ia jelas menjadi prinsip perjuangan DAP dan berdasarkan sejarah selepas PRU14 lalu, terbukti mereka berani melakukannya.

“DAP juga perlu memastikan semua keterjaminan itu tidak akan disentuh oleh pemimpin mahupun ahli dalam prinsip dan perlembagaan parti mereka jika benar-benar jujur mahu memajukan negara berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette