KUALA LUMPUR – Bekas pemain import Penang FC musim lalu, Christian Rontini mengumumkan dia sudah memeluk Islam semalam di Indonesia
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh pemain campuran Filipina-Itali itu di laman Instagram peribadinya sambil memuat naik beberapa gambarnya memakai jubah berwarna putih dan ditemani oleh beberapa rakannya.
Rontini yang berusia 24 tahun mengucap dua kalimah syahadah di Masjid Raya Al-A’zhom di Kota Tangerang, Jawa Barat.
Dia ketika ini sedang beraksi bersama kelab Liga 1 Indonesia, Persita Tangerang.
“Ash-hadu an la ilaha illa ALLAH, Wa ash-hadu anna Muhammadan Rasulu-ALLAH. Semoga ALLAH memberi saya kekuatan dan mendapat keberkatan untuk permulaan sebagai saudara baharu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang datang dan bersama-sama untuk meraihkan hari bahagia saya ini. Saya doakan yang terbaik untuk anda semua. Bismillah-ir-Rahman-ir-Rahim. Amin,” tulisnya pada laman Instagramnya.
Bek tengah itu sebelum ini memilih untuk menamatkan kontraknya bersama Kelantan pada 17 April lalu berikutan masalah tunggakan gaji yang melanda kelab Pantai Timur berkenaan pada musim ini.
Namun, tidak lama selepas penghijrahannya dari Kelantan FC, Rontini diumumkan sebagai pertahanan kental baharu untuk kelab Liga 1 Indonesia, Persita Tangerang pada Mei.
Sebelum Rontini, import PDRM FC, Bruno Suzuki juga disahkan memeluk Islam di Masjid Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada Rabu dan difahamkan pemain berusia 33 tahun tersebut mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Arif M. Rajoli. – MalaysiaGazette