KUALA LUMPUR – Beberapa jam selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menjalankan siasatan terhadapnya, Tan Sri Muhyiddin mendakwa media melaporkan di luar konteks berhubung kenyataanya berkaitan ‘fatwa’ haram.
Dakwa Muhyiddin, media memanipulasi ucapan beliau berkaitan ‘fatwa’ haram memberi undi kepada calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai pada 9 September ini.
“Saya percaya ucapan saya telah diambil secara di luar konteks dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai.
“Ucapan saya panjang. Saya menyentuh pelbagai isu yang dihadapi oleh rakyat pada masa ini terutama sekali bebanan kos sara hidup yang gagal ditangani dengan baik oleh Kerajaan PH.
“Kerana itu, saya menyeru kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pulai supaya jangan memberi undi kepada calon PH, Suhaizan Kayat. Saya tidak mengeluarkan fatwa hukum syarak bahawa haram mengundi calon PH,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang tadi.
VIDEO:
Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan polis telah menjalankan siasatan terhadap Muhyiddin berkaitan ‘fatwa’ politik dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kempas, Johor, Sabtu lalu.
Malah temu janji untuk rakaman percakapan Muhyiddin telah ditetapkan pada 11 September ini.
Mengulas lanjut, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ucapan beliau pada malam tersebut hanyalah kiasan dan tidak mempunyai niat untuk mengaitkan perkara itu dengan fatwa.
“Saya tahu apa yang saya sebut itu bukanlah fatwa hukum syarak, saya selepas itu menyebut “ada esok ni yang mencabar saya ni ikut fatwa mana.
“Sebagai seorang yang faham tentang hukum-hakam agama, saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang fatwa agama. Apatah lagi di negara kita terdapat badan-badan tertentu seperti Majlis Fatwa yang mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan fatwa selepas mengadakan muzakarah dengan para ulama dan ilmuwan yang pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan,” katanya lagi.
Sewaktu berucap pada ceramah PN di Kempas, Johor Bahru, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu dikatakan telah ‘menjatuhkan’ hukum haram untuk mengundi Suhaizan Kaiat yang juga calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK itu, Sabtu ini.
Muhyiddin mendakwa ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan. – MalaysiaGazette