PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mendapatkan pandangan semua pihak termasuk daripada Persatuan Farmasi Malaysia dalam melaksanakan garis panduan untuk mewujudkan kios mesin layan diri perubatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya akan mendengar pandangan daripada persatuan itu selepas wujud kebimbangan terhadap risiko kes keracunan akibat penjualan ubat tanpa kawalan susulan cadangan mewujudkan kios mesin ubat tersebut di PPR.
“Kita akan jemput juga persatuan farmasi untuk beri pandangan mereka dalam menyediakan garis panduan.
“Kita kerja sebagai satu pasukan, kita akan kerjasama dengan KKM, kita akan bincang dengan semua pemegang taruh termasuk kita akan libatkan persatuan farmasi.
“Mungkin mereka ada idea baik yang bernas, kita bersama bina persepsi positif,” katanya pada sidang media sempena Penubuhan Majlis Ekonomi Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal di kementeriannya, di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai kebimbangan Persatuan Farmasi Malaysia berhubung risiko kes keracunan akibat penjualan ubat tanpa kawalan jika cadangan mewujudkan kios mesin layan diri perubatan di kawasan PPR dilaksanakan.
Presidennya, Amrahi Buang sebelum ini berkata, setiap ubat yang digunakan mempunyai risiko tersendiri jika tidak diambil dengan betul dan pengguna seharusnya memahami kesan sampingan apabila memakannya, bukan secara sambil lewa.
Amrahi berkata, kerajaan perlu memantapkan garis panduan penjualan ubat di mesin layan diri di tempat awam.
Mengulas lanjut, Kor Ming memberitahu, KPKT dan KKM giat mengadakan perbincangan dalam menetapkan garis panduan sebelum mesin ubat itu dilancarkan.
KPKT sebelum ini berkata, pihaknya bekerjasama dengan KKM bagi mewujudkan kios mesin layan diri perubatan di PPR di seluruh negara untuk memudahkan penduduk mendapatkan bekalan ubat dan perubatan semasa kecemasan khususnya ketika lewat malam. – MalaysiaGazette