KUALA LUMPUR – Sokongan padu masyarakat Cina terhadap DAP tidak akan terjejas dengan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas menteri Kabinet, Khairy Jalamuddin Abu Bakar mendakwa, pengundi berketurunan Cina akan menerima apa sahaja alasan oleh DAP termasuk mengenai keputusan Jabatan Peguam Negara melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid.
Khairy Jamaluddin berkata, jangkaan beliau itu boleh dilihat melalui sokongan kaum itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu ini.
“Berbalik kepada isu DAP ini ujian sebenar adalah di Pulai. Saya kata DAP pun buat perkiraan politik.
“Walaupun dia (DAP) kena kecam daripada saya dan sebagainya mereka tidak bodoh, mereka tahu dia buat apa benda pun 90 peratus lebih pengundi Cina akan tetap menyokong DAP.
“Mereka tahu, bebaskan Zahid buat apa sahaja pun that is unpalateble, boleh buat. Tengoklah Kulai akan kekal milik PH,” kata Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata demikian dalam program Tunggu Sekejap bersama Shahril Sufian Hamdan.
Khairy Jalamuddin berkata, beliau menyentuh sikap dan tindakan DAP dalam kes Ahmad Zahid kerana parti itu dahulunya kuat menentang Presdien UMNO itu.
“Minta maaf cakap, kenapa saya sentuh DAP kerana DAP antara parti yang kehadapan. Dahulu kata hendak penjarakan Zahid, kata tak akan terima semua benda ini.
“Reaksi paling lemah yang boleh mereka berikan ialah minta Peguam Negara buat penjelasan.
“Macam-macam dia cakap pasal MCA dulu ‘running dog’ dan sebagainya. Lihatlah cermin sekarang, mana anda?” sindir bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
Khairy Jamaluddin turut melahirkan rasa bimbang tindakan tidak meneruskan kes terhadap Ahmad Zahid akan diulangi oleh pihak lain pada masa depan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini menggesa Peguam Negara memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat berkenaan faktor yang mendorong keputusan melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid.
Anthony berkata, parti itu menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti penjelasan itu perlu dilakukan.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan Ahmad Zahid tanpa membebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.-MalaysiaGazette