Dr. Mohammad Fairus Khairuddin

KUALA LUMPUR – Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu jangan bersikap munafik dengan membuat kenyataan mengajak rakyat menolak golongan pelampau.

Ini kerana bekas Timbalan Presiden Pas itu sebelum ini bersikap demikian melalui beberapa siri tindak tanduknya yang melampau dan menggugat keamanan menerusi ucapan berbaur cemuhan dan kata-kata kesat.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Putra, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, sebelum ini juga rakyat Malaysia turut menyaksikan segala tingkah lakunya yang tidak memelihara adab dalam berbahasa dan berpolitik.

“Jadi, apabila beliau menyarankan rakyat menolak golongan pelampau, pernyataannya itu agak pelik dan bersikap munafik kerana bukankah dia juga dahulunya yang bersikap demikian?

“Siapa sahaja yang menjadi musuh politiknya diserang dengan pelbagai cemuhan dan kata-kata kesat yang penuh dengan caci maki.

“Malah, dakwaan pelampau yang dilemparkannya baru-baru ini juga amat tidak tepat dan salah kerana ini memperlihatkan betapa dangkal dan jahilnya beliau dalam memahami situasi serta kenyataan politik di sekitarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, ketika dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Mohamad dilaporkan berkata, perpaduan yang dibina di negara ini perlu terus utuh agar sebarang bentu ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum serta agama dapat dielak.

Katanya, dua calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding itu perlu menang bagi menyekat kemaraan puak pelampau agama dan kaum.

Mohammad Fairus berkata, apakah wajar rakyat yang tulus ikhlas memperjuangkan maruah agama Islam dan bangsa Melayu serta kedaulatan tanah Melayu dituduh sebagai pelampau?

Ujarnya, penolakan majoriti umat Melayu Islam terhadap PH kerana sikap mereka sendiri selama ini yang memaparkan tingkah laku dan pendirian yang memudaratkan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

“Ini adalah suatu hakikat yang berlaku bertahun-tahun lamanya dan sikap onar itu masih kelihatan “wajahnya” melalui pelbagai episod biadab pengikut mereka dan kelancangan kata-kata beberapa pimpinannya.

“Kedurjanaan DAP terhadap kedaulatan dan maruah Islam, umat Melayu, Raja-Raja Melayu serta segala nuansa dan agenda berdaulat kedaulatan umat Melayu juga menjadi fakta yang masih terus berlaku hingga kini.

“Ia jelas nyata berlaku. Contoh jelas adalah pendirian Setiausaha Agung DAP baru-baru ini menyanggah keras saranan beberapa pihak agar memansuhkan dasar parti mereka Malaysian Malaysia dan fahaman sekularisme yang menjadi teras perlembagaan DAP,” tegasnya.

Katanya, dua konsep iaitu Malaysian Malaysia dan dasar sekular adalah sebuah pelanggaran yang jelas nyata terhadap semangat Perlembagaan Negara, yang berpaksikan kepada tiga pasak negara sebagaimana dimashyurkan Raja-Raja Melayu.

DAP tegas beliau, melalui Setiausaha Agungnya juga secara terang enggan memansuhkan dua pegangan parti itu yang mendasari perlembagaan parti mereka.

“Inilah bukti nyata kemudaratan mereka terhadap tiga pasak negara ini dan perkara sedemikian tidak boleh diterima dan dilarang serta ditegah di sisi agama Islam.

“Dalam syariat Islam jelas ditegah sama sekali seorang muslim berpegang kepada fahaman sekularisme seperti yang pernah dihuraikan oleh tokoh ilmuan Islam tersohor negara Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

“Sesungguhnya faham sekularisme itu adalah sesuatu yang amat dilarang dan ditegah Islam kerana ia memisahkan segala urusan kehidupan dunia dengan keterkaitan alam akhirat nanti yang merupakan satu kebenaran nyata dan salah satu daripada enam Rukun Iman,” katanya.

Malah kata Mohammad Fairus lagi, fahaman sekularisme itu juga pada hakikatnya membawa pelbagai kemudaratan terhadap kesucian dan keluhuran syariat Islam.

Menurut beliau, konsep Malaysian Malaysia yang DAP perjuangkan sejak dahulu adalah suatu fenomena kebiadapan segelintir kaum bukan Islam yang melanggar batasan adab serta mencabar kedaulatan bangsa Melayu di negara ini.

“Melalui agenda Malaysian Malaysia, DAP mahu menyamaratakan semua kaum di negara ini, sedangkan hakikatnya fahaman sama rata itu sama sekali tidak membawa keadilan kepada hak dan kaum bumiputera yang ratusan tahun ditindas dan dinafikan hak mereka oleh kuasa penjajah.

“Justeru, tingkah laku kalangan politikus sumbang sedemikian hendaklah ditolak oleh rakyat kerana sikap sedemikian mencabar pasak negara ini yang telah dipertahankan dan dibina dengan pengorbanan air mata dan darah oleh leluhur pejuang terdahulu.

“Di atas semua kepincangan dan kemudaratan ini, apakah Mat Sabu masih jahil mengenai hakikat yang selama ini telah berlaku di negara ini? Kemunafikan apakah ini yang sedemikian bobrok dan keji?” soal beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Habis ko nak org Melayu menyokong kaki pembohong, kaki fitnah dan kaki sakau mcm Mudin Pagoh tu? Bukan setakat berbohong kpd org Melayu…dlm isu darurat bukan saja berbohong di parlimen, malah Agong pun dia bohong! poodahhh

Comments are closed.