mayat lelaki dengan kesan kecederaan pada badan ditemui dalam lori di Danau Kota Setapak Wangsa Maju awal pagi semalam. Ihsan IPD Wangsa Maju

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang telah ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat lelaki di dalam lori di Danau Kota, Setapak di Wangsa Maju pagi semalam direman selama seminggu bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua suspek berusia 36 dan 37 tahun itu telah dihadapkan ke mahkamah pagi tadi.

“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek itu direman sehingga 17 September ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu merupakan rakan kenalan minum mangsa yang ditemui mati dalam lori tersebut.

“Setakat ini polis belum mengenal pasti punca kejadian (kematian mangsa) memandangkan semalam kedua-dua suspek mabuk teruk semasa ditahan polis.

“Kita akan mula soal siasat hari ini,” ujarnya.

Semalam Ashari mengesahkan penemuan mayat lelaki berusia 59 tahun dalam keadaan terbaring tanpa baju dan hanya berseluar jeans di dalam lori berkenaan.

Mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

Ashari berkata, pemeriksaan pada badan simati dapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian telinga, bengkak di bahagian kepala dan pipi, luka di mata, lebam di bahu dan tulang dada serta terdapat kesan darah dari dalam mulut.

Katanya, polis berjaya menahan dua suspek itu yang disyaki terlibat dalam kes tersebut. – MalaysiaGazette