KUANTAN – Barisan Nasional (BN) Pahang akan bekerja keras tidak mengambil mudah bagi mempertahankan kubu mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 7 Oktober ini.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya kini sedang meneliti kredibiliti keenam-enan calon yang berpontesi menang.
Pemilihan calon yang layak akan dibincang bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi bagi proses mendapatkan watikah dan akan diumumkan beberapa hari sebelum penamaan calon nanti.
“Dalam keadaan macam mana pun, kita akan bekerja kuat untuk pertahankan kerusi DUN Pelangai dan tidak mengambil mudah.
“Setakat ini, ada enam calon yang berbakat dan berpotensi boleh menang. Saya sudah mengambil resume dan sedang meneliti dan mengkaji semua calon.
“Kita akan mengumumkan calon dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon dan bukan pada 17 September seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu berkata demikian selepas melancarkan Buku Budi Pujangga dan Kelab Pendidikan Muzim Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist di sini hari ini.
Tambah Wan Rosdy, kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRK DUN Pelangai sudah lama wujud termasuk ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU15) DUN Tioman pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, perlu ada kerjasama bagi mewujudkan senergi sebagai contoh kerjasama Kerajaan Perpaduan seperti kerajaan hari ini.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Pada PRU15, Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). – MalaysiaGazette