Orang awam mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa dari kolam tersebut.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki ditemui mati lemas bersama cucunya dalam sebuah kolam terbiar berhampiran restoran ikan bakar di Taman Kempas di sini semalam.

Mayat mangsa berumur 78 tahun dan cucu lelakinya berusia 19 bulan itu ditemukan pekerja restoran berhampiran pukul 7.20 malam sebelum menghubungi MERS 999 untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Tikam Batu bergegas ke lokasi selepas pihaknya menerima maklumat.

“Sebaik tiba pihaknya mendapati kedua-dua mangsa yang terapung dalam kolam yang ditinggalkan sedalam satu meter itu telah dikeluarkan orang awam.

“Saksi yang merupakan pekerja restoran ikan bakar menyatakan ternampak orang ramai berkumpul di kawasan kolam lama tersebut dan apabila menghampiri mendapati ada dua mangsa lemas sebelum membuat panggilan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zaidy, hasil temu bual bersama bapa kanak-kanak itu menyatakan bapanya selalu membawa anak lelakinya bersiar-siar setiap petang selepas mengambil cucunya daripada ibunya yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Kempas tidak jauh dari situ.

“Bagaimanapun, sehingga  7 malam, dia mendapati kedua-dua mereka belum pulang dan dia melakukan pencarian di sekitar kawasan berhampiran sebelum ternampak orang ramai berkumpul di kolam terbiar itu.

“Apabila sampai, dia mendapati kedua-dua ahli keluarganya yang menetap di Kampung Matang Berangan, Pinang Tunggal di sini sudah berada dalam keadaan terapung,” katanya.

“Susulan itu, pemeriksaan pihak polis ke atas mangsa serta tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan mayat kedua-dua individu itu dihantar Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk proses bedah siasat,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.