KEPALA BATAS – Upah RM4,000 untuk seludup satu kilogram (kg) syabu menyebabkan dua nelayan sanggup menggadai nyawa mereka dengan menjadi dalang kepada rangkaian sindiket dadah rentas negara.
Bagaimanapun, kegiatan dua lelaki berusia 42 dan 50 tahun itu sejak enam bulan lalu berjaya ditumpaskan selepas polis menahan mereka di jeti Kuala Bekah, Penaga di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, serbuan 7 malam itu membawa kepada rampasan 20.748 kg syabu bernilai RM660,000 yang dimasukkan dalam bungkusan teh Cina.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek dalam perjalanan untuk membawa dadah itu ke satu lokasi di Indonesia menggunakan jalan laut di Selat Melaka.
“Ketika serbuan, suspek sedang memindahkan syabu dalam bungkusan itu ke dalam sebuah bot gentian kaca milik salah seorang suspek.
“Berdasarkan risikan, masing-masing mereka merupakan transporter dan syabu ini dibawa dari Kuala Lumpur untuk dihantar ke Indonesia melalui Pengkalan Bekah.
“Selain syabu kita turut menyita sebuah kereta serta bot gentian kaca yang digunakan mereka dan ini sekali gus menjadikan jumlah rampasan dan sitaan bernilai RM860,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara hari ini.
Tambah Mohd Asri, hasil soal siasat lanjut mendapati kedua-dua suspek hidup mewah susulan menerima upah RM4,000 bagi setiap satu kilogram syabu yang dibawa.
“Siasatan kita mendapati nelayan tersebut aktif dalam kegiatan ini sejak enam bulan lalu dan sekiranya penghantaran kali ini berjaya mereka akan menerima upah berjumlah RM80,000.
“Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine selain suspek berusia 42 tahun juga didapati mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” kata Mohd Asri.
Kedua-duanya direman enam hari sehingga 15 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette