Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Selepas usul Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang-PN) memanggil Peguam Negara menjelaskan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi semalam gagal, persidangan Dewan Rakyat kembali kecoh hari ini.

Sesi pagi pada hari kedua kembali kecoh sebaik sahaja Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-PN) yang tidak berpuas hati usul itu ditolak berkata, pihaknya mahu kerajaan menyatakan hala tuju terhadap kes berkenaan.

“Saya minta supaya kerajaan meletakkan hala tuju kepada 47 kes (Ahmad Zahid) sama ada nak tarik terus atau dakwa semula.

“Ataupun kerajaan pegang kepada prinsip menteri yang katakan pelantikan Peguam Negara itu dibuat oleh orang kita,” katanya setelah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menyatakan bahawa Shahidan dilihat hanya membuang masa dewan.

Menurut Ramli, beliau berpegang kepada prinsip jika seseorang Ahli parlimen telah diberikan amaran sebanyak tiga kali, seperti mana yang berlaku ke atas Shahidan, maka  Ahli parlimen itu akan dihalau keluar dari dewan.

Bingkas bangun, Wan Ahmad Fayhsal (Machang-PN) berkata, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mungkir janji selepas memberi jaminan usul itu akan disentuh selepas perbentangan laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, semalam.

“Rakyat bertanya kepada kami dan perlukan jawapan Dewan Rakyat berkenaan kes tersebut, mungkin akan ada kamar dan sesi khas dan rakyat berhak tahu,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

Semalam, persidangan Dewan Rakyat kecoh beberapa minit bersidang bagi pembentangan KSP RMK-12 apabila Wan Ahmad Fayhsal menggesa usul tergempar bagi memanggil Peguam Negara bagi memanggil Peguam Negara untuk menjelaskan mengenai keputusan DNAA terhadap timbalan Perdana menteri itu daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rakyat bertanya kepada kami? Poodahhh..rakyat lebih nak tahu sebab apa ko tidur dalam parlimen selepas ko rembat duit gaji & elaun berpuluh ribu dari hasil cukai rakyat bahalol

Comments are closed.