KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sedia untuk diheret ke mahkamah bagi kes siasatan berhubung isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).
“Orang yang ada iman dia sanggup dihukum di dunia, jangan dihukum di akhirat. Saya sedia dibicarakan di mahkamah, saya tunggu dan sedia dihukum. Tidak tahulah sama ada hukuman penjara ataupun denda, saya pilih penjara.
“Kalau denda baik bagi parti dan saya percaya kalau dihukum tidak layak jadi Ahli Parlimen, PRK akan berlaku di Marang,” katanya ketika semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan terhadap Abdul Hadi berhubung 3R.
Razarudin turut berkata, kertas siasatan itu telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Turut dihantar adalah kertas siasatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Abdul Hadi sebelum ini beberapa kali dipanggil polis berhubung siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Ia berikutan kenyataan Presiden Pas itu yang didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang jeram di Markas Pas di Bakri, Muar, Johor pada Ogos. – MalaysiaGazette