Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan digesa untuk menghentikan siasatan dan pendakwaan terpilih atas alasan 3R (agama, bangsa dan raja) semata-mata untuk menutup mulut rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menambah,  beliau telah berkali-kali disiasat oleh polis dan berhadapan dengan pendakwaan jenayah semata-mata kerana menyuarakan keresahan orang Melayu dan masyarakat Islam.

Bagaimanapun katanya, pemimpin politik blok kerajaan yang mengeluarkan kenyataan jahat yang jelas mengapi-apikan sentimen perkauman langsung tidak disentuh walaupun puluhan malah ratusan laporan polis dibuat terhadap mereka.

“Adakah saya sebagai pemimpin Melayu dianggap sebagai penjenayah semata-mata kerana menyuarakan kepentingan orang Melayu dan Islam? Sejak bila pemimpin Melayu di negara ini sudah tidak boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu dan Islam?

“Penjajah British telah lama meninggalkan tanah air kita. Tetapi nampaknya dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani hari ini lebih teruk daripada dasar penjajah,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin semalam dilapor memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan berhubung ucapan dibuatnya ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram, pada 2 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain sebelum ini berkata, proses merakam keterangan berhubung dakwaan kenyataan Muhyiddin bahawa ‘haram’ mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat selesai sepenuhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast