MELAKA – “Janganlah tindas rakyat begini mengatakan beras tempatan ada di pasaran, sedangkan ia tiada,”.
Demikian keluhan beberapa peniaga dan pelanggan di bandar raya ini selepas kesukaran mendapatkan bekalan beras tempatan sejak lebih sebulan lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa pasar raya dan kedai runcit di negeri ini difahamkan premis-premis ini juga telah terputus stok makanan ruji itu sejak lebih dua minggu lalu.
Peniaga Nasi Ambeng di Ayer Molek, Karim Ratjo, 62, berkata, dia sedih apabila kerajaan seolah-olah tidak berterus terang dengan rakyat apabila menidakkan ketiadaan beras tempatan di pasaran.
“Memang sedih sebab tak tahulah apakah punca beras tempatan tiba-tiba lesap atau mungkin ia dipek semula menjadi beras import yang lebih mahal membuatkan kami kumpulan B40 ini terus terhimpit.
“Sudah lebih sebulan tak ada beras tempatan menyebabkan saya terpaksa guna beras import pada harga RM32.65 untuk sekampit 10 kilogram (kg),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya, walaupun terpaksa menanggung kenaikan harga sehingga RM8 sekampit, dia tidak menaikkan harga jualan kerana takut kehilangan pelanggan.
“Kalau naik harga, pelanggan akan persoalkan kenapa harga semakin mahal sedangkan mereka tak tahu beras pun hampir setiap minggu berlaku kenaikan,” katanya.
Peniaga Nasi Lemak RM1 di Duyong, Khairil Anuar Ali, 52, kesal dengan tindakan agensi berkaitan yang gagal melaksanakan tugas dengan baik untuk membela nasib rakyat.
“Kenapa harga beras sekarang ini boleh naik sampai RM3 hingga RM5 dalam masa selang beberapa minggu sahaja sedangkan rakyat masih ramai yang susah ketika ini.
“Peniaga kecil macam kami nak dapat RM1,000 hingga RM2,000 sebulan pun terpaksa kais pagi makan pagi jadi tolonglah jangan tindas kami sewenang-wenangnya.
“Kenaikan harga yang membabi buta tanpa memikirkan kesusahan rakyat ini tak patut berlaku dan janganlah sibuk berpolitik sehinggakan terlupa tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga runcit yang enggan dikenali berkata, harga beras tempatan dijangka naik sehingga RM7 untuk kampit 10 kg menjelang akhir bulan ini.
“Pembekal beritahu saya stok beras tempatan akan naik lagi RM4 dan kenaikan boleh sampai RM7 sehingga akhir bulan ini sedangkan kerajaan kata akan kawal harga tapi ia tidak berlaku.
“Macam sekarang, saya cuma tinggal dua kampit beras tempatan yang diperoleh dua minggu lalu djual pada harga RM28, tapi akan datang perlu jual pada harga RM35 kerana peningkatan harga,” katanya. – MalaysiaGazette