Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sangsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menjayakan Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12).

Muhyiddin berkata, Anwar yang memetik hadis berkenaan sifat amanah ketika membentangkan laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12, didakwa tidak menggambarkan tatakelola sebenar perdana menteri itu.

“Saya sangsi dengan kemampuan (Ahli Parlimen) Tambun untuk mengotakan apa yang dikatakan. Tatakelola katanya dah jadi tatakelaut. Tak sampai setahun jadi kerajaan, janji-janji reformasi yang dicanang sepanjang lebih 20 tahun dahulu dah jadi reformati.

“Begitu juga janji untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri. (Ahli Parlimen) Tambun mengumumkan pelaksanaan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang,” katanya ketika membahaskan laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 yang dibentangkan Anwar pada Isnin.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan pembangunan itu menzahirkan lagi dskriminasi yang dilakukan terhadap negeri-negeri yang dipimpin oleh pembangkang.

Negeri Kedah umpamanya tidak langsung disebut oleh Anwar ketika mengumumkan pelaksanaan pembesaran lapangan terbang di Pulau Pinang dan Selangor.

“Begitu juga janji menyediakan peruntukan sama rata bagi semua Ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang tidak dilaksanakan. Di mana sifat amanah, adil dan integritinya?, soal Muhyiddin lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, berita pembebasan seorang pemimpin Kerajaan Perpaduan atas tuduhan rasuah adalah contoh tidak baik kepada kerajaan, sekali gus  memberikan kesan tidak baik kepada pelaburan dalam negara.

“Berita pelepasan seorang pemimpin kanan kerajaan daripada 47 tuduhan rasuah atas arahan Peguam Negara selepas dia dipanggil membela diri di mahkamah bukanlah satu contoh yang baik mengenai kebebasan sistem keadilan di Malaysia.

“Kita dilihat oleh pelabur asing sebagai setaraf dengan negara-negara dunia ketiga yang digelar sebagai negara penyangak atau ‘the rogue state’,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast