Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat sesi pagi kecoh apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan isu penggunaan helikopter oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Malah, Takiyuddin turut mengaitkan perkara itu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada awal perbahasannya ketika kedua-duanya menghadiri Program Karnival Usahawan Desa di Sungai Besar, Selangor.

Menurutya, disebabkan penggunaan helikopter itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sungai Besar terpaksa menghabiskan puluhan ribu ringgit bagi membuat tempat pendaratan pesawat yang dinaiki mereka.

Takiyuddin turut memetik sebuah artikel bahawa Anwar juga menolak perbelanjaan baik pulih kediaman dan kereta untuk membantu golongan sasar.

“Sebenarnya tidak mengambil peruntukan kereta, kerana dia (Anwar) nak guna helikopter,” katanya pada sesi perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), hari ini.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bangun mencelah dan meminta Takiyuddin yang juga Ketua Whip Pembangkang menarik balik kenyataan berhubung dakwaan terhadap Perdana Menteri yang disifatkan berniat jahat.

Tanpa mengendahkan permintaan Tze Tzin, Takiyuddin tetap meneruskan ucapannya hingga menyebabkan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat menyatakan Tze Tzin mengganggu ucapan Takiyuddin.

Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor kemudian menegur Tze Tzin dan meminta agar beliau tidak mengganggu ucapan kerana Takiyuddin tidak memberikan laluan untuk pencelahan.

Bagaimanapun, Tze Tzin menyatakan beliau menggunakan Peraturan Mesyuarat untuk mencelah kerana ahli Parlimen Kota Bharu itu mengemukakan hujah berdasarkan apa yang dinyatakan netizen dalam media sosial.

“Kota Bharu membuat kenyataan berdasarkan tuduhan netizen dan (beliau) tidak sepatutnya ambil laporan Facebook dan TikTok, ini bukan kebenaran tetapi dakwaan jahat,” ujarnya.

Namun, Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) bangkit dengan memetik Peraturan 36 (6) bahawa Takiyuddin telah membuat sangkaan jahat terhadap Anwar.

“Kota Bharu membuat sangkaan jahat mengatakan Perdana Menteri menolak untuk menerima membaik pulihrumah tetapi itu adalah tujuannya untuk menggunakan helikopter,” katanya.

Ramli kemudiannya menyatakan bahawa Tze Tzin atau Mohammed Taufiq boleh membuat usul berkenaan apa yang dibahaskan oleh Takiyuddin itu supaya ia dapat dinilai dan dibuat keputusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast